Skip to main
Logo Malaysiakini

Celoteh, nasihat Ismail Kamus akan sentiasa dikenang - Zulkifli

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad hari ini mengimbau kenangannya bersama susuk pendakwah terkenal, Allahyarham Ismail Kamus yang menghembuskan nafas terakhir tengah malam tadi.

Seperti kebanyakan orang lain, antara yang paling dikenang Zulkifli adalah ceramah Ismail di televisyen pada dekad 1980-an dan 1990-an serta kaset ceramah yang laris jualannya.

“Kehadirannya sentiasa dinantikan setiap kali Forum Perdana Ehwal Hal Ehwal Islam (kini Forum Perdana Ehwal Islam) di TV1.

“Celotehnya yang bersahaja, disulami nasihat-nasihat yang amat berguna, sentiasa menjadi ingatan kepada generasi yang sempat berada pada era tersebut,” katanya dalam siri ciapan di Twitter.

Zulkifli turut mengongsikan dua keping gambar dirinya bersama Ismail.

Allahyarham merupakan pendakwah terkenal, terutama pada dekad 1980-an dan 1990-an apabila sering menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang bersiaran setiap malam Jumaat.

Dengan pendekatan menyelitkan jenaka, beliau mengumpul ramai pengikut yang sering mengikuti ceramahnya di televisyen dan kaset.

Ismail juga pernah menjadi Adun Gombak Setia selama sepenggal dari 1999 hingga 2004, dan pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Meninggal dunia di kediamannya di Ampang, Kuala Lumpur, Allahyarham sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.

Kongsi Zulkifli lagi, kali terakhir beliau makan bersama Ismail adalah pada 17 Disember tahun lalu.

Meskipun kelihatan uzur, katanya, Ismail tetap tampak bersemangat dan menggagahkan diri untuk bersama-samanya pada malam tersebut.

“Kita kehilangan seorang demi seorang ilmuan dan pendakwah yang benar-benar memahami denyut nadi ummah.

“Semoga Allah memberi ketabahan kepada keluarga Almarhum,” ciapnya lagi, sebelum menitipkan doa buat allhayarham Ismail.