Pasar raya jangan buat undang-undang sendiri - Ismail Sabri
Pihak pengurusan pasar raya diminta tidak membuat undang-undang sendiri, dengan mengenakan larangan yang bertentangan dengan peruntukan di bawah Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kepada pelanggan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan itu seperti mewajibkan pelanggan memakai penutup hidung dan mulut, sebelum memasuki premis mereka.
"Pemakaian penutup hidung dan mulut bukanlah satu yang wajib dan jika tidak memakainya tidak melakukan kesalahan di bawah Akta 342 atau peraturan-peraturan di bawah akta itu," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas aduan sesetengah pihak yang mendakwa, pasar raya tidak membenarkan pelanggan masuk sekiranya tidak memakai penutup hidung dan mulut.
Ismail Sabri berkata walaupun pemakaiannya tidak diwajibkan, namun kerajaan menggalakkan orang ramai untuk memakai penutup hidung dan mulut, terutamanya bagi mereka yang bergejala.
Beliau turut mencadangkan kepada pihak pengurusan pasar raya untuk menjual penutup hidung dan mulut kepada pelanggan yang tidak memilikinya, jika pasar raya mahu menggalakkan pelanggan memakainya.
“Walaupun dari segi undang-undang tidak salah (jika tidak memakai topeng muka), tapi kalau pasar raya nak galakkan orang masuk pakai penutup hidung dan mulut, saya cadangkan mereka menjualnya...cukuplah sekeping untuk membolehkan pelanggan masuk,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 91 operasi sanitasi awam meliputi 26 zon merah dan kuning di 11 negeri dijalankan semalam.
Ismail Sabri juga berkata, setakat hari ini sebanyak 245 pusat kuarantin beroperasi dengan 16,820 individu menjalani proses kuarantin wajib.
Mengenai proses penghantaran pelajar kembali ke kampung halaman, Ismail Sabri berkata seramai 6,517 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, telah dihantar pulang ke kampung masing-masing semalam.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai