Skip to main
Logo Malaysiakini

Rentas negeri hari kedua berjalan lancar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Proses pergerakan rentas negeri melibatkan mereka yang terkandas di Perak, Johor dan Kelantan hari ini berjalan dengan lancar.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, menerusi pemantauan tiada sebarang kesesakan luar biasa dikesan di beberapa lebuh raya utama seluruh negara.

Menerusi tinjauan Bernama di JOHOR, rata-rata pemandu yang ditemui berkata mereka tidak mempunyai masalah dalam urusan permohonan Gerak Malaysia dan berasa bersyukur apabila dapat kembali ke tempat masing-masing.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Tong, 40, berkata beliau tidak sabar untuk pulang ke rumah keluarganya di Sitiawan, Perak, setelah terkandas di Johor Bahru sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 18 Mac lepas.

“Apabila kerajaan mengumumkan PKP akhir Mac lepas, saya tidak sempat balik ke Sitiawan, jadi, terpaksa duduk sahaja di rumah sewa di Taman Pelangi, ” katanya yang sering berulang alik dari Sitiawan ke Johor Bahru kerana mempunyai urusan kerja di Singapura.

Situasi serupa berlaku di KELANTAN dengan juruteknik Mohd Rafify Mazlan, 30, kini dapat menarik nafas lega apabila dapat kembali bertemu isteri dan anaknya, selepas hampir dua bulan terpisah susulan pelaksanaan PKP.

Mohd Rafify yang bekerja di Johor Bahru berkata, beliau pulang ke Kota Jembal, Kota Bharu pada 16 Mac lepas untuk menziarahi kedua ibu bapanya selain menyelesaikan urusan peribadi.

Guru, Wan Mohd Azam Wan Muhamad, 35, dari Pasir Puteh pula berkata, walaupun sekolah masih belum dibuka akibat penularan COVID-19, namun beliau terpaksa pulang ke Pulau Pinang kerana isterinya, Diana Fariha Saat, 35, akan memulakan kembali tugas sebagai Setiausaha Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, minggu depan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana sepanjang berada di kampung, saya dapat menjaga ibu Siti Eshah Muhammad, 73, yang sakit akibat kencing manis, selain dapat menunaikan ibadat berpuasa bersama keluarga,” katanya.

Di PERAK, Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya belum mempunyai maklumat mengenai jumlah kenderaan yang keluar meninggalkan negeri itu, untuk ke destinasi masing-masing kerana ia masih berjalan.

Bagaimanapun, katanya sebanyak 1,647 permohonan secara manual telah diterima daripada orang ramai yang ingin melakukan perjalanan keluar, hari ini.

"Untuk kenderaan yang masuk ke Perak, setakat 11 pagi lebih 4,000 dilaporkan tiba di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan rentas negeri, di susur keluar Simpang Pulai.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan, polis telah memberi 70,538 kebenaran kepada mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan untuk ke tempat masing-masing menerusi permohonan Gerak Malaysia.

- Bernama