Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Saiful ingatkan Dr M: Bukan masa balas dendam kesumat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menjelaskan bahawa ini bukan masa yang sesuai untuk pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul undi tidak percaya kepada presidennya Muhyiddin Yassin.

“Saya kesal dengan usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Tun Mahathir. Dalam keadaan Tan Sri Muhyiddin dan seluruh kabinet berhempas pulas membantu rakyat, tidak wajar memberi keutamaan kepada kepentingan peribadi.

“Usul sebegini tidak peka dengan kesusahan rakyat dalam musim Covid-19 dan tekanan ekonomi.

“Ini bukan masanya. Sekarang bukan masa membalas dendam kesumat peribadi,” kata Wan Saiful Wan Jan.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof hari ini menerima usul Dr Mahathir – yang merupakan anggota Parlimen Langkawi- untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Mohamad Ariff telah membalas notis yang dihantar Dr Mahathir, dengan memaklumkan usul tersebut di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Terdahulu, dilaporkan Dr Mahathir telah menghantar surat kepada Mohamad Arif pada 4 Mei mendakwa Muhyiddin tidak ada sokongan majoriti anggota parlimen.

Selain itu, Dr Mahathir juga telah mengemukakan permohonannya untuk mengemukakan usul supaya mengekalkan Mohamad Ariff sebagai speaker sehingga ke akhir penggal.

Usul ini juga turut ditolak Mohamad Ariff.

Notis yang ditolak speaker ini menyusuli usaha Anggota Parlimen Semporna Shafie Apdal untuk mengemukakan usul percaya kepada Dr Mahathir.

Bagaimanapun, pejabat Dewan Rakyat telah menjawab bahawa usul tersebut melanggar Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam melantik perdana menteri.

Sementara itu Wan Saiful turut mendakwa bahawa tindakan Dr Mahathir dalam membawa usul terbabit tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) parti tersebut.

“Tun Mahathir juga tak pernah bincangkan usul yang besar ini dengan MPT Bersatu.

“Ia tindakan peribadi yang membelakangkan kepentingan parti,” katanya lagi.

Kata Wan Saiful, lebih baik sekiranya Dr Mahathir menerima permintaan Muhyiddin untuk berjumpa dan berbincang berkenaan perkara tersebut.

“Alangkah baiknya jika Tun Mahathir menerima permintaan Tan Sri Muhyiddin untuk berjumpa dan berbincang. Sudah lama Tan Sri Muhyiddin minta.

“Kalau sekalipun Tun Mahathir enggan memanggil mesyuarat MPT kerana bimbang majoriti MPT terus menolak ajakan beliau untuk kembali ke pangkuan DAP dan PH, maka boleh saja berjumpa empat mata dengan Tan Sri Muhyiddin.

“Bukan dengan cuba menjatuhkan kerajaan parti sendiri. Siapa yang akan dapat faedah dari usul ini?” soal Wan Saiful.

Untuk rekod, Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu dan bergabung bersama sekumpulan MP PKR yang berpaling tadah diketuai oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Bersama-sama pembangkang PAS, Umno, GPS dan parti kecil lain mereka menubuhkan kerajaan persekutuan PN.

Bagaimanapun, Dr Mahathir telah membayangkan rancangannya untuk kembali menguasai Bersatu pada pemilihan parti akan datang dan membawa Bersatu keluar daripada kerajaan PN.