Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM masih timbang benarkan taska dibuka semula minggu depan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) masih menimbang soal kebenaran untuk taska kembali beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), menurut Ketua Pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata, industri dan kilang telah memohon agar KKM membenarkan taska kembali dibuka, tetapi pihaknya bimbang dengan risiko penularan ekoran kanak-kanak berada dalam jarak dekat antara satu sama lain.

"Kita terima permohonan daripada kilang dan industri, kerana apabila pekerja pergi kerja, anak-anak mereka akan ditempatkan di taska.

"KKM masih melihat permohonan itu. Kita bimbang kawalanterhadap kanak-kanak di taska," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

"Jika kita lihat di taska, sebelum wabak pun, jangkitan (penyakit) tangan dan mulut masih berlaku di sana," katanya lagi.

Noor Hisham berkata, antara yang sedang dipertimbangkan adalah penjagaan kanak-kanak secara berasingan (one to one) atau di tempat khas.

"Tetapi jika kanak-kanak berkumpul di satu tempat, ia merisaukan KKM. Tahap kebolehjangkitan akan meningkat jika kaedah lama (penjagaan kanak-kanak) digunakan.

"KKM sedang mempertimbang kaedah baru (berkenaan perkara itu), kemudian baru kita boleh beri keputusan muktamad," katanya lagi.

Beliau menjawab soalan pemberita berkenaan sama ada sekolah antarabangsa dan pusat jagaan kanak-kanak swasta akan dibenarkan kembali beroperasi minggu depan, kerana mereka dikatakan telah mendapat lampu hijau untuk berbuat demikian.

Selepas sidang media, seorang pegawai KKM menjelaskan Noor Hisham merujuk kepada taska secara khusus, dan bukannya tempat asuhan kanak-kanak.

[Baca berita asal]