PM: Petronas, kerajaan Sarawak capai kata sepakat
Kerajaan negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah berjaya mencapai kata sepakat untuk memilih penyelesaian dalam rundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini berhubung perkara itu berkata kejayaan tersebut dicapai sejak usaha untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 bermula secara rasminya pada Disember 2018.
"Penyelesaian ini merupakan pendekatan yang mampan dari segi ekonomi, kewangan dan sosial negara pada jangka panjang.
"Ini juga selari dengan dasar utama kerajaan, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yang bermatlamat untuk berkongsi kemakmuran negara merentas kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah di negara ini, " katanya.
Di samping itu, Perdana Menteri berkata penyelesaian tersebut akan memberi ruang kepada kerajaan negeri Sarawak untuk penglibatan bersama dalam pembangunan industri minyak dan gas bersama Petronas di negeri berkenaan, tanpa mengubah peranan Petronas sebagai syarikat minyak negara yang mempunyai kuasa penuh dalam mengawal selia seluruh pembangunan industri minyak dan gas di negara ini, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Jawatankuasa yang akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memastikan rundingan diteruskan ke arah penghasilan yang diterima oleh semua pihak," kata Muhyiddin.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai