Skip to main
Logo Malaysiakini

Miros: Pemandu mabuk 13 kali berisiko sebabkan kemalangan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemandu di bawah pengaruh alkohol adalah 13 kali lebih berisiko menyebabkan kemalangan berbanding pemandu yang bebas daripada pengaruh alkohol, demikian menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Ketua Pengarah MIROS Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata dapatan itu diperoleh hasil kajian institut tersebut terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kemalangan di negara ini.

“Statistik Polis Diraja Malaysia pada tahun 2017 dan 2018 masing-masing menunjukkan sejumlah 212 dan 191 kes kemalangan jalan raya serta disahkan positif alkohol dan daripada jumlah itu, masing-masing merekodkan 58 dan 54 kematian iaitu 0.9 peratus daripada keseluruhan statistik kematian jalan raya,” menurutnya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Berikutan itu, MIROS mencadangkan agar kadar saman sedia ada untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dinaikkan kepada satu jumlah yang jauh lebih tinggi.

Katanya ini bagi mendidik pengguna jalan raya terhadap keseriusan akibat kesalahan itu yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa kepada pengguna jalan raya lain.

Khairil Anwar berkata MIROS juga mengesyorkan agar kerajaan mewajibkan penjual alkohol atau pusat hiburan menyediakan kemudahan pemandu upahan atau ‘designated driver’ sebagai satu daripada syarat wajib pelesenan pemis perniagaan.

“Ini bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya kepada pemandu dan pengguna jalan raya lain.

“Amalan ini bukan baharu malah beberapa negara membangun juga mengguna pakai kaedah ini iaitu Australia dan Jepun yang telah memperlihatkan kadar penurunan kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Beliau berkata MIROS bersama Kementerian Pengangkutan dan semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara sedang meneliti perkara itu.

- Bernama