Skip to main
Logo Malaysiakini

MIC: Speaker usah terikut-ikut mainan pembangkang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Naib Presiden MIC, C. Sivaraajh menasihatkan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof agar tidak terikut-ikut dengan 'sandiwara politik' yang dimainkan anggota Parlimen pembangkang.

Ini susulan tindakan Mohamad Ariff menerima usul undi tidak percaya di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) oleh Anggota Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Jangan terikut-ikut dengan permainan ahli parlimen pembangkang sehingga urusan kerajaan demi kepentingan rakyat terjejas. Ini waktunya untuk kita beri keutamaan pada kepentingan nasional bukannya kepada kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilapor Malaysia Gazette.

Sivaraajh berkata Yang Di pertua Dewan Rakyat juga seharusnya mengambil kira implikasi usul tersebut dengan keadaan semasa.

“Saya pasti YB Speaker lebih tahu bahawa jika usul tersebut berjaya, Ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin) bukan sekadar boleh meletak jawatan, beliau juga boleh menasihati Yang DiPertuan Agong untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Persoalannya, adakah kita bersedia untuk mengadakan PRU sekarang?

“Malah, jika Ahli Parlimen Pagoh berjaya membuktikan sokongan untuk kekal sebagai Perdana Menteri pun ahli-ahli parlimen pembangkang akan tetap menggunakan isu ini dari semasa ke semasa demi kepentingan politik mereka.

“Perkara ini jelas. Seolah-olah sudah menjadi trend dalam kalangan ahli-ahli parlimen pembangkang untuk memainkan isu tersebut walaupun Ahli Parlimen Pagoh menubuhkan kerajaan ini secara sah dari sisi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, NGO Agora Society dalam satu kenyataan berasingan mengalu-alukan tindakan speaker menerima usul berkenaan.

Menurut mereka, gesaan telah dibuat agar sidang parlimen diadakan secepat mungkin untuk mengesahkan kerajaan baru apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Mac tahun ini.

Katanya, ia adalah cara terbaik untuk menyelesaikan kebuntuan politik dan melindungi raja berperlembagaan pada masa yang sama.

"Sungguhpun begitu, kita hairan dengan fakta bahawa usul tidak percaya tidak dibentangkan oleh pemimpin pembangkang.

"Secara tradisinya, usul itu dibentangkan oleh pemimpin pembangkang dan inilah sebab mengapa bekas MP, Hee Loy Sian menarik balik usul beliau pada tahun 2015 untuk memberi laluan kepada pemimpin pembangkang membuat usul berkenaan," kata mereka dalam kenyataan.

Mereka berkata, Mahathir telah membuat "kesilapan besar" dengan membenarkan Yang di-Pertuan Agong menemubual anggota parlimen untuk menentukan perdana menteri yang baru.

Tambahnya, langkah itu telah menyebabkan institusi diraja mendapat nama buruk dan melemahkan asas-asas perlembagaan Malaysia.

NGO itu juga berkata sekiranya undi tidak percaya dibuat pada 18 Mei, semua anggota parlimen perlu hadir di Dewan Rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.