Skip to main
Logo Malaysiakini

Maszlee tolak jadi pengerusi jawatankuasa penasihat Mara Corp

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik menolak pelantikannya sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat Mara Corp.

Maszlee memaklumkan perkara itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata antara sebab keputusan itu adalah setelah mengambil kira tumpuan pada masa ini iaitu melawan wabak Covid-19, serta merasakan keputusan yang dibuatnya perlu selari dengan mandat rakyat, terutama pengundi di Simpang Renggam.

"Perhitungan saya jelas, keputusan yang bakal saya lakukan mesti selari dengan mandat yang diberikan dari penyokong dan rakyat Simpang Renggam khususnya, juga rakyat Malaysia umumnya.

"Buat masa ini, saya lebih terkesan dengan kesempitan hidup rakyat dan tekanan ekonomi yang dihadapi gara-gara bencana Covid-19. Di Simpang Renggam sendiri, terlalu banyak keluarga yang tersadai derita dan perlu dibantu.

"Justeru itu, saya tidak boleh menerima lantikan ini buat masa ini. Kita masih belum menang melawan Covid-19. Negara kita harus menang dahulu, bebas dari bencana, dan kehidupan rakyat kembali stabil," katanya.

Saya mengambil maklum berita yang telah tersiar mengaitkan nama saya dengan lantikan di sebuah agensi kerajaan. Saya...

Posted by Dr Maszlee Malik on Jumaat, 8 Mei 2020

 Pelantikan Maszlee, yang merupakan bekas menteri pendidikan, diumumkan semalam oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abd Latiff Ahmad.

Selain Maszlee, Abd Latiff turut melantik beberapa lagi pemimpin Bersatu yang turut dilantik adalah Azizah Mohd Dun (MP Beaufort) sebagai pengerusi Mara dan Rafiq Naizamohideen (Adun Paya Rumput) sebagai anggota jawatankuasa penasihat Mara Corp.

Dalam pada itu, Maszlee berkata Mara yang telah banyak melahirkan golongan profesional dan usahawan bumiputera perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk membantu rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19.

"Agensi ini perlu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk benar-benar membantu golongan B40, pekerja makan gaji hari, juga bumiputera yang telah kehilangan kerja dan ramai lagi kelompok rakyat yang terjejas akibat Covid-19. Mereka sangat-sangat perlu dibantu," katanya lagi.

Bersatu kini berpecah antara pihak yang menyokong pengerusinya Dr Mahathir Mohamad dan presiden Muhyiddin Yassin, dengan pemilihan parti bakal diadakan.