Skip to main
Logo Malaysiakini

Maik salur RM21.9 juta zakat pada asnaf di Kelantan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan zakat sebanyak RM21.9 juta kepada golongan asnaf yang memerlukan di negeri ini melalui Program Prihatin MAIK sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata sebanyak RM4.7 juta telah diagihkan menerusi fasa pertama, RM7.9 juta pada fasa kedua dan fasa ketiga RM9.3 juta.

“Walaupun melihat kepada perkembangan semasa setelah pengumuman oleh kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak MAIK akan meneruskan juga penyaluran agihan yang telah dirancang dalam fasa ketiga.

“Hal ini memandangkan tujuan program ini adalah antara lainnya untuk menampung keperluan asnaf bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka sepanjang Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu, hari ini.

Tengku Mohamad Rizam berkata, untuk fasa ketiga Bantuan Prihatin MAIK, pihaknya telah membuat penyelarasan dengan membahagikan bantuan kepada dua kategori iaitu pertama Agihan Zakat MAIK yang diperawalkan dan kedua Bantuan MAIK Musibah COVID-19.

Katanya, kategori pertama membabitkan perbelanjaan sebanyak RM3.9 juta melibatkan tiga program iaitu agihan zakat bulanan kepada asnaf fakir dan miskin; elaun sara hidup pelajar tajaan MAIK luar dan dalam negara; serta bayaran penuh elaun sukarelawan dan imam rawatib masjid bandar dan jajahan.

"Untuk kategori kedua pula menerusi Bantuan MAIK COVID-19 iaitu sebanyak RM5.4 juta yang diperuntukkan untuk disalurkan kepada enam kumpulan utama.

Daripada jumlah itu juga sebanyak RM1.8 juta dikhaskan untuk bantuan kepada asnaf yang terjejas akibat COVID-19 yang akan diagihkan melalui 603 masjid bandar, masjid jajahan dan masjid mukim di seluruh Kelantan,” katanya.

Beliau berkata bagi menjunjung titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sebanyak RM2 juta akan diagihkan kepada 10,000 orang asnaf menerusi Bantuan Khas (Musaadah Ramadan).

“Sepanjang bulan Ramadan ini juga MAIK akan membuka kaunter zakat seperti biasa dengan mengamalkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selain turut menyediakan platform secara dalam talian untuk kemudahan semua pembayar zakat,” katanya.

- Bernama