Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Cameron Highlands antara pemimpin Umno dikaitkan lantikan GLC

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Beberapa lagi ahli parlimen disebut-sebut telah dilantik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk termasuk Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

Bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini, Ramli memaklumkan yang dia belum menerima surat lantikan berkenaan.

Berdasarkan surat lantikan yang dilihat Malaysiakini, Ramli sepatutnya dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif kepada sebuah syarikat pemegang amanah, Amanah Raya Bhd.

Turut tersebar adalah surat didakwa lantikan Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias sebagai pengerusi bukan eksekutif UDA Holdings, syarikat yang menyelia projek pembangunan bandar berkaitan perniagaan, industri dan perumahan.

Satu lagi surat pula berkenaan lantikan ialah melibatkan Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman yang dikatakan dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif di Syarikat Perumahan Negara Bhd untuk tempoh dua tahun.

Salinan ketiga-tiga surat berkenaan dilihat Malaysiakini dan bertarikh 5 Mei, serta mengandungi tandatangan milik Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagaimanapun, Ramli berkata dia belum ada menerima surat sedemikian.

“Saya tak ada terima apa-apa pun (panggilan/surat).

“Menteri (kewangan) keluar (surat) tapi saya tak tahu apa pun. Setakat ini memang saya tak terima apa pun, cuma orang luar sahaja yang kecoh,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Malaysiakini sudah menghubungi dua lagi ahli parlimen yang lain serta menteri kewangan untuk pengesahan, dan kini sedang menunggu maklum balas mereka.

Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah pula ketika dihubungi Malaysiakini, berkata dia juga tidak mendapat apa-apa makluman berkenaan lantikan berkenaan.

Lantikan yang dikaitkan dengan ketiga-tiga ahli parlimen Umno itu merupakan antara lantikan GLC yang sedang giat berlaku, menjelang sidang Parlimen 18 Mei ini.

Semalam, beberapa lantikan lain melibatkan ahli Parlimen Umno turut disahkan, iaitu Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) masing-masing sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad dan Prasarana.

Semalam juga, speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan beliau menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dihantar bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Surat lantikan itu bertarikh 5 Mei, sehari selepas Mahathir menghantar permohonan usulnya kepada speaker.

Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Simpang Rengam Maszlee Malik menolak lantikan sebagai pengerusi jawatankuasa Mara Corp, di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Saya mengambil maklum berita yang telah tersiar mengaitkan nama saya dengan lantikan di sebuah agensi kerajaan.

“Saya percaya, apa-apa sahaja bentuk lantikan adalah amanah dari rakyat, dan harus pulang kepada rakyat. Kepentingn rakyat adalah paksinya dan bukannya keuntungan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

[Baca berita asal]