Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM 'melepas lelah' tiada siaran langsung Covid-19 hari ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan berehat sebentar 'bagi melepaskan lelah' hari ini, dan akan mengeluarkan kenyataan bukan sebagaimana kelaziman mengadakan sidang media.

Pada satu kicauan di Twitter, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan ini kali pertama beliau dan pasukannya dapat berehat daripada ke udara bersiaran langsung sejak Disember tahun lalu.

"Hari ini saya dan pasukan saya diberi peluang untuk berehat seketika setelah bekerja tanpa henti sejak Disember 2019 dalam respon dan kesiapsagaan KKM menghadapi Covid-19.

"Walaupun tiada sidang media dijadualkan, satu kenyataan akhbar tetap akan menyusul menyalurkan maklumat terkini," jelas beliau.

Ini kali pertama kementerian itu tidak bersiaran langsung sejak gelombang kedua jangkitan Covid-19 bermula pada 27 Februari lalu.

Kenyataan kemas kini kes harian Covid-19 akan dibuat selepas jam 5 petang.

Sehingga tengah hari semalam, terdapat 6,535 kes Covid-19 secara keseluruhan dan daripada jumlah itu 1,564 kes adalah kes aktif. Setakat ini wabak Covid-19 telah meragut 107 korban di Malaysia

Menonton sidang media Kementerian Kesihatan setiap hari telah menjadi rutin harian buat sebahagian besar rakyat Malaysia, terutama sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula.

PKP dijadualkan berakhir pada 12 Mei, dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam masa beberapa hari lagi dijangka akan mengumumkan sama ada akan melanjutkannya atau tidak.

Buat masa ini, sekatan telah dilonggarkan untuk kebanyakan perniagaan, dengan pasukan keselamatan juga menarik balik sekatan jalan raya supaya dapat memfokuskan pada langkah menyekat perjalanan antara negara.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.