Skip to main
Logo Malaysiakini

Faizal, Redzuan tak sokong usul tak percaya Dr M terhadap PM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu menjelaskan tindakan Dr Mahathir Mohamad memfailkan usul tak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin merupakan haknya sebagai seorang ahli parlimen.

Bagaimanapun, menteri besar Perak itu berkata beliau tidak menyokong tindakan tersebut.

“Saya tidak dapat menyokong usul tersebut dan percaya rakyat ingin memberi peluang kepada Muhyiddin membawa Malaysia ke arah kebaikan buat semua.

"Saya bersama rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Mohd Redzuan Md Yusof pula berkata usul terbabit membawa motif yang mengelirukan.

Kata Mohd Redzuan, usul tersebut jelas dibuat tanpa pertimbangan sewajarnya terhadap kesan yang bakal dialami negara dan rakyat.

“Kemuka usul ini tanpa pertimbangan sewajarnya (rasional) terhadap kesan negara dan rakyat - ekonomi, pelaburan, penjagaan kesihatan, keyakinan,” katanya.

Semalam Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima usul Anggota Parlimen Langkawi itu untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Mohamad Ariff membalas notis yang dihantar Mahathir, dengan memaklumkan usul tersebut di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Terdahulu, dilaporkan Mahathir menghantar surat kepada Mohamad Arif pada 4 Mei dengan mendakwa Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti anggota parlimen.

Bersatu kini berpecah antara kumpulan yang menyokong Mahathir dan penyokong Muhyiddin, sejak berlakunya krisis politik Februari lalu, yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan reaksi daripada pemimpin-pemimpin Bersatu yang sehaluan dengan Mahathir bagaimanapun tidak berhasil.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, usul berkenaan menyerlahkan kemelut politik yang berlaku dalam Bersatu.

“Usul ini seolah-olah dilihat bukan untuk melihat siapa bakal PM cuma untuk melihat bukti sama ada kerajaan PN ini benar-benar mempunyai cukup majoriti di Dewan Rakyat.

“Ini memperlihatkan bahawa terdapat perpecahan yang besar dalam Bersatu,” katanya.

Selain itu, penganalisis politik Prof Kartini Aboo Thalib dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyifatkan tindakan Dr Mahathir mengemukakan usul itu pada waktu negara dilanda krisis Covid-19 sebagai langkah tidak bijak.

“Usul tidak percaya pada waktu negara berdepan dengan ancaman Covid-19 adalah kurang bijak, kerana fokus utama adalah terhadap ekonomi bukan politik,” katanya.