Armada mahu LHDN semak semula permohonan BPN elak keciciran
KORONAVIRUS | Kerajaan khususnya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menyemak semula sistem Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana dikhuatiri terdapat masalah teknikal yang mengganggu urusan pembayarannya.
Exco Pemuda Bersatu (Armada), Muzzammil Ismail, berkata ramai yang kecewa apabila permohonan mereka ditolak sedangkan sepatutnya layak untuk menerima BPN.
"Rata-rata orang yang sememangnya layak sangat mengharapkan bantuan tersebut dalam keadaan terdesak seperti sekarang setelah hampir dua bulan tidak dapat bekerja.
"Sistem rayuan juga perlu dibuka agar tiada siapa pun yang berhak mendapat bantuan akan ketinggalan atau tersisih.
"Kebanyakan mereka yang tidak lulus kerana mempunyai daftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi ramai juga yang tidak beroperasi setelah sekian lama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut menyarankan kerajaan supaya memperluaskan BPN merangkumi peniaga kecil yang mendaftar perniagaan dengan SSM.
Zahid berkata, beliau khuatir jika individu yang pernah mendaftar perniagaan sebelum ini sudah tidak lagi aktif berniaga dan akhirnya tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.
Tak dapat beroperasi lama
"Kekhuatiran saya adalah bagi pemohon BPN yang satu ketika dulu pernah mendaftar perniagaan dengan SSM tapi kini mereka sudah tidak lagi aktif berniaga.
"Mungkin sekarang mereka sudah kembali menjadi pekerja ataupun bekerja sendiri dengan pendapatan yang tak seberapa.
"Lebih malang lagi jika perniagaan yang cuba mereka ceburi mengalami kerugian dan kini tidak punya sumber pendapatan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muzzammil berkata ramai juga pemohon terutama dalam kalangan pasangan muda, anak muda bujang yang bekerja gaji rendah termasuk mahasiswa turut tercicir.
"Ramai mengadu kepada saya agar membawa isu ini sehingga mendapat perhatian pihak pelaksana. Ini kerana mereka sangat-sangat terkesan sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19.
"Kebanyakan mereka yang tidak lulus kerana mempunyai daftar syarikat SSM, sedangkan ramai juga yang tidak beroperasi setelah sekian lama.
"Jadi LHDN perlu buat semakan semula atau pemohon perlu dipertimbangkan rayuan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai