Skip to main
Logo Malaysiakini

DBKL arah tapak pembinaan di Jalan Ampang tutup 30 hari

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang di Kuala Lumpur diarah tutup selama 30 hari kerana tidak mematuhi syarat kelulusan perintah pembangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan, ketika mengesahkan perkara itu, berkata notis dikeluarkan menerusi Ops Pantau Covid-19 yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan DBKL tengah hari tadi.

"Siasatan mendapati tapak pembinaan itu telah menjalankan aktiviti tanpa kebenaran yang telah melanggar Seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 apabila mereka membina rumah kongsi pekerja di subtingkat bawah tanah tanpa kebenaran.

"Oleh itu, mereka diminta memberhentikan sebarang aktiviti dan mengosongkan tapak pembinaan itu dalam tempoh 30 hari bermula hari ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata jika gagal mematuhi arahan itu, DBKL akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya dan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian daripada pihak pemaju.

Pada 3 Mei lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata DBKL dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor tapak pembinaan yang membina rumah kongsi pekerja tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan.

Ia susulan penularan wabak Covid-19 ke atas 28 pekerja asing tapak pembinaan yang dikesan oleh Kementerian Kesihatan sejak 3 Mei lalu.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.