Skip to main
Logo Malaysiakini

Timb speaker: Tak pernah ada larangan media di DUN Melaka sebelum ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan Speaker DUN Melaka Wong Fort Pin berkata hari ini kali pertama media dilarang membuat liputan di sidang DUN negeri itu.

Sidang yang dijadual selama sehari ini merupakan sidang pertama di bawah kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN).

Perhatian bertumpu kepada sidang hari ini memandangkan pentadbiran baru akan melakukan langkah untuk mengukuhkan kawalan terhadap DUN, antaranya dengan menggantikan speaker.

Speaker Omar Jaafar dan Wong daripada PH walaupun gabungan itu tidak lagi mempunyai majoriti dalam dewan.

"Kenapa perlu larang media? Ini idea siapa? Ia memberi tanggapan buruk terhadap pihak yang mengarahkannya.

"Media memainkan peranan penting dalam demokrasi… ini tak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Pegawai DUN menyatakan larangan tersebut berkaitan wabak Covid-19 dan hanya petugas daripada Jabatan Ketua Menteri dibenarkan untuk membuat rakaman perjalanan sidang.

Selepas perbincangan, Pejabat Ketua Menteri membenarkan agensi media kerajaan untuk membuat liputan.

Bagaimanapun persidangan itu berlangsung dalam tempoh yang singkat, hanya sekitar 30 minit.

Sidang DUN bertukar kecoh apabila adun PN membantah keputusan Omar yang menolak usul menyingkirkannya sebagai speaker Dewan.

Perbalahan kemudian tercetus sebelum Omar akhirnya menangguhkan sidang.