Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan serah kedudukan Husam di Kada pada Agong

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Di sebalik pertukaran kerajaan - daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) - di peringkat pusat, Naib Presiden Amanah, Husam Musa, kekal sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Justeru, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyerahkan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan sama ada Husam perlu digantikan atau sebaliknya.

Untuk rekod, selain menjadi naib presiden Amanah, Husam juga ialah pengerusi PH Kelantan dan anggota Dewan Negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Che Abdullah Mat Nawi, berkata pelantikan jawatan pengerusi Kada terletak bawah kuasa Agong.

Pada masa sama, ahli parlimen PAS bagi kawasan Tumpat itu menjelaskan ada ramai orang berkelayakan boleh dilantik bagi menggangikan Husam namun ia terserah kepada pertimbangan Agong.

"Pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. Ada ramai orang yang berkelayakan untuk dilantik, jadi terpulang kepada baginda untuk melantik siapa pengerusi Kada," katanya kepada media selepas melawat loji benih padi Pertubuhan Peladang Kawasan Puteri Saadong di Binjai, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status Husam sebagai pengerusi Kada. Untuk rekod Husam dilantik memegang jawatan itu secara kontrak selama dua tahun mulai 1 Mac 2019.

Justeru penggal Husam sebagai pengerusi Kada sepatutnya berakhir pada 28 Feb 2021.

Ditanya sama ada Husam masih menjalankan tugas pengerusi Kada seperti biasa atau tidak, Che Abdullah berkata, beliau tidak mengetahui butiran lanjut mengenai peranan semasa bekas naib presiden PAS itu.

"Saya pun tak tahu," katanya ringkas.

Beliau juga menjelaskan kementeriannya akan memastikan apa sahaja perancangan dan idea bermanfaat yang dirancang Kada sebelum ini tetap diteruskan walaupun berlaku perubahan dalan pentadbiran kerajaan.

Malah jelas Che Abdullah, berbanding sebelum ini Kada dapat mengoptimumkan skop penghasilan padi khususnya selepas kerajaan negeri dan pusat di bawah pentadbiran yang sama.

"Dulu ada halangan-halangan tertentu oleh kerana dua kerajaan berbeza di peringkat negeri dan pusat. Sekarang ini alhamdulillah Allah takdirkan kerajaan yang sama di peringkat negeri dan pusat.

"Saya mengharapkan masalah-masalah atau halangan tertentu dapat diselesaikan sebaiknya bagi memberi manfaat kepada pesawah padi di kawasan Kada," kata Che Abdullah.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.