Skip to main
Logo Malaysiakini

PKPD: Penduduk sekitar pasar Jalan Othman terima makanan mencukupi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penduduk di sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) menerima bantuan makanan mencukupi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pengagihan makanan itu dibuat sejak semalam dan mencukupi bagi bekalan kegunaan kira-kira 2,600 penduduk di situ untuk tempoh seminggu.

"Semalam JKM sudah melaksanakan pengagihan bekalan makanan sejak pukul sembilan pagi hingga empat petang, jadi tidak timbul isu penduduk di sini sukar mendapatkan bantuan makanan.

"Jika penduduk menghadapi sebarang masalah, polis juga ditempatkan meronda di kawasan terbabit dan mereka boleh memaklumkan sebarang masalah dihadapi termasuk mengenai bekalan makan, kesihatan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneruskan kerja-kerja ujian saringan Covid-19 yang masuk hari kedua ke atas penduduk di sekitar Pasar Jalan Othman.

Nik Azanee berkata 509 orang merangkumi 361 warga tempatan dan 148 bukan warga asing telah menjalani saringan Covid-19 pada hari pertama PKPD di kawasan itu semalam.

Pelaksanaan ujian saringan bermula seawal pukul sembilan pagi tadi dengan penduduk sekitar dilihat keluar rumah untuk ke pusat saringan Covid-19 bagi menjalani ujian berkenaan secara berperingkat.

Bernama difahamkan petugas kesihatan mengunjungi 429 buah rumah di sana semalam bagi melakukan bancian serta memastikan kira-kira 2,600 penduduk termasuk warga asing hadir untuk menjalani saringan.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditempatkan di kawasan sekitar PKPD itu.

Semalam, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pasar Jalan Othman menjadi kawasan terbaru PKPD berkuatkuasa mulai 10 hingga 23 Mei.

Kawasan berkenaan dikenakan PKPD selepas KKM mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit.

-Bernama