Skip to main
Logo Malaysiakini

Hanya media kerajaan dibenar buat liputan DUN Perak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hanya media rasmi kerajaan yang dibenarkan membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang akan berlangsung sehari, esok.

Keputusan itu hadir selepas semua media sebelum ini menerima jemputan untuk menghantar satu wartawan dan seorang jurugambar.

"Setelah mengambil kira pengumuman Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) berkenaan lanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sekali gus memperketatkan lagi usaha membendung risiko penularan wabak Covid-19 di negeri Perak, pentadbiran ini memutuskan untuk mengehadkan kemasukan jemputan yang akan menghadiri persidangan tersebut.

"Sehubungan itu, pentadbiran ini memutuskan hanya media rasmi sahaja yang dibenarkan hadir membuat liputan sepanjang sesi persidangan berlangsung," kata kenyataan pejabat setiausaha kerajaan negeri Perak hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pas media yang telah diedarkan kepada agensi-agensi media selain media utama sebelum ini adalah dibatalkan secara serta-merta.

Kenyataan itu berkata semua pihak media masih boleh mengikuti persidangan tersebut secara live streaming di Facebook.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu telah mendapat perkenan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Perak untuk persidangan satu hari itu.

Sultan Nazrin juga akan hadir merasmikan persidangan berkenaan.

Faizal bagaimanapun berkata tidak akan ada sesi soal jawab lisan, dan hanya jawapan bertulis, sementara semua anggota dewan undangan negeri juga harus menjalani pemeriksaan untuk Covid-19 sebelum persidangan.

Pendekatan itu serupa dengan yang diambil di Dewan Rakyat, yang dijadualkan akan mengadakan persidangan satu hari pada 18 Mei.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof pada 8 Mei berkata bahawa hanya media milik kerajaan yang dibenarkan menghadiri dan membuat liputan pada sidang pada 18 Mei, dengan memetik Covid-19 sebagai alasan.

Persidangan 18 Mei akan menjadi persidangan pertama parlimen pertama sejak pemerintahan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan pada Februari lalu.

DUN Melaka juga bersidang satu hari pada hari ini untuk pertama kalinya sejak PN mengambil alih pemerintahan negeri.

Semua media, termasuk media rasmi, pada mulanya dilarang membuat liputan sesi itu.

Hanya pasukan media dalaman dari Jabatan Ketua Menteri Melaka yang dibenarkan untuk merakam persidangan hari ini.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Menteri kemudiannya berunding untuk membenarkan hanya badan-badan akhbar kerajaan untuk membuat liputan pada sidang tersebut.