PN cadang bekas Adun Kamunting jadi speaker DUN Perak
Kerajaan Perak telag mengemukakan usul untuk menamakan bekas Adun Umno, Mohammad Zahir Abdul Khalid sebagai speaker baru dewan undangan negeri, menggantikan Ngeh Koo Ham dari Pakatan Harapan (PH).
Beberapa Adun PH memberitahu Malaysiakini bahawa mereka diberitahu oleh Ngeh sendiri mengenai usul yang dibawa oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Ia adalah bekas anggota Adun Kamunting, Zahir," kata ketua pembangkang Perak, Abdul Aziz Bari.
Zahir, yang menjadi Adun Kamunting dan exco selama dua penggal sejak 2008, kalah kepada PKR pada pilihan raya umum 2018.
Zahir juga merupakan ketua Umno Taiping.
Sementara itu, Timbalan Speaker Aminuddin Zulkipli mengesahkan usul untuk memilih Zahir telah dihantar kepada speaker.
Namun, Zulkipli tidak pasti sama ada usul itu akan diterima oleh speaker atau dibangkitkan pada persidangan satu hari esok.
"Speaker tidak beritahu saya," katanya, sambil menambah bahawa usul PN tidak sesuai dengan Perintah Tetap Dewan yang menetapkan pemberitahuan tujuh hari mengenai calon jawatan speaker.
Sementara itu, Ngeh enggan memberi komen apabila ditanya sama ada beliau akan membenarkan usul tersebut.
"Maaf. Atas pelbagai alasan, saya tidak boleh membocorkan maklumat pada masa ini," katanya kepada Malaysiakini dalam pesanan teks.
Mengulas lebih lanjut, Aziz mendakwa bahawa PN pada awalnya menginginkan ketua Umno Bahagian Ipoh Timur Azian Osman sebagai speaker.
"(Tapi) Azian diumumkan sebagai ketua Suruhanjaya Tenaga (pada 9 Mei)," katanya.
Ketika dihubungi, Ketua Umno Perak dan Exco kerajaan negeri, Saarani Mohamad menafikan bahawa PN pada asalnya menamakan Azian sebagai calon sepaker.
Namun, Saarani enggan mendedahkan calon PN untuk jawatan tersebut.
"Terserah kepada spekaer (apakah usul itu akan diterima)," katanya, sambil menambah bahawa dia yakin usul itu akan diluluskan jika dibangkitkan dalam dewan kerana PN memegang majoriti di DUN.
PN, yang menguasai 35 kerusi DUN daripada 59, menumbangkan kerajaan negeri PH di Perak pada 9 Mac.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai