Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jika sudah tak mahu kami tak apa, tapi benarkan kami pulang kemas barang'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Setelah disekat untuk memasuki negara sejak awal pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, pemegang pas Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), Ratna Hartawan berkata jika keluarganya tidak diterima di Malaysia, dia tidak keberatan untuk berhijrah.

Namun dia berharap agar pihak berkuasa membenarkannya untuk pulang ke rumahnya di Johor Bahru, -- tempat keluarga warga Indonesia itu tinggal sejak 2017 - untuk pulang mengambil barang mereka.

“Jika Malaysia memang tidak mahu kami tinggal di Malaysia, tidak mengapa, kami sedar diri dan akan tinggalkan Malaysia.

“Tetapi tolong bagi kami pulang untuk kemas barang yang ada di rumah di Johor Bahru.

“Kami janji akan tinggalkan Malaysia dan tidak lagi ganggu tugas kerajaan Malaysia,” kata Ratna menerusi emel hari ini kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud yang dilihat Malaysiakini.

Malaysiakini sebelum ini telah melaporkan nasib Ratna, suami dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun.

Keluarga tersebut telah terkandas di Thailand sejak 18 Mac lalu tanpa kewangan yang cukup kerana tidak mempunyai kad ATM bersama mereka.

Suaminya yang berusia 52 tahun itu juga menderita sakit diabetes dan hipertiroidisme dan mereka sukar mendapatkan ubat-ubatan yang diperlukan.

Pada ketika itu, Ratna telah menulis e-mel kepada ketua pengarah Jabatan Imigresen bagi menjelaskan situasi suaminya dan merayu untuk dibenarkan kembali ke Malaysia.

Bagaimanapun ketua pengarah tersebut membalasnya dengan berkata bahawa permintaan Ratna tidak dapat dipertimbangkan sehingga PKP ditamatkan.

 

Susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam bahawa PKP bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan sehingga empat minggu lagi iaitu pada 9 Jun, Ratna berharap dia dan keluarganya dibenarkan masuk ke Malaysia pada 12 Mei. – tarikh asal PKPB mahu ditamatkan, sebelum diumum dilanjutkan.

“Kami benar-benar harap dibenarkan pulang selepas 12 Mei. Semua barang kami ada di rumah di Johor Bahru.

“Kami hidup dalam keadaan terdesak, terkandas di Thailand sejak 18 Mac, lebih dua bulan. Kami tak ada keperluan asas sama sekali.

“Ini adalah pengalaman paling trauma untuk anak perempuan saya yang berumur 10 tahun di sini,” katanya dalam e-mel kedua kepada ketua pengarah itu hari ini.

Ratna – yang merupakan 38 tahun - menjelaskan bahawa keluarganya bukan pelancong di Malaysia tetapi negara itu merupakan rumah dan tempat anak mereka bersekolah.

Tambahnya, dia sedih apabila PKP telah menyekat pemegang pas MM2H seperti mereka untuk memasuki negara.

“Dengan tidak mengendahkan kehidupan kami di luar (negara) seperti ini, lambat laun kami akan mati, sama ada sebab Covid-19 atau risiko lain.

“Kami tak dapat akses wang kami dalam bank di Malaysia. Bagaimana kami hendak berterusan untuk hidup begini? Tolong lah sedar. Ya Allah, kasihanilah kami,” rayunya dalam e-mel tersebut.

Ratna juga memberitahu Malaysiakini bahawa dia sudah menghubungi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam usaha lain supaya masalahnya diselesaikan dan pihak tersebut bersetuju untuk meneliti perkara ini.

“Ini bulan Ramadan. Harap (kerajaan) bersimpati dan membenarkan kami untuk pulang ke rumah kerana permintaan khusus kerana barang semua berada di Johor Bahru,” kata Ratna.

Bukan cuma Ratna, terdapat juga beberapa pemegang pas MM2H yang mempunyai masalah hampir sama disebabkan pelaksanaan PKP.

Malaysiakini sebelum ini juga telah melaporkan berkenaan pasangan Amerika, yang juga merupakan pemegang pas MM2H yang turut terkandas di Thailand.

Terdapat juga akaun kumpulan (group) peribadi Facebook “Expat/MM2H stranded overseas due to MCO in Malaysia", yang mempunyai 349 ahli setakat ini.

Ratna – yang juga merupakan ahli dalam kumpulan tersebut- berkata terdapat 130 orang lagi yang menunggu untuk mendapatkan kelulusan pentadbir akaun untuk menyertai kumpulan itu.

“Mereka mempunyai cerita berbeza tetapi masalah yang sama – sedih, menyampah dan murung,” katanya.

MM2H adalah inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dilancarkan pada 2002 yang bertujuan menarik ekspatriat untuk melabur di Malaysia sebagai pilihan serius untuk migrasi.

Pas MM2H adalah visa boleh diperbaharui 10 tahun sekali, dan memberi insentif seperti pembelian hartanah dan pendidikan, antara lain.