Skip to main
Logo Malaysiakini

Norhizam: Saya diprovokasi, ‘dibabikan’ dulu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Norhizam Hassan Bakte mendakwa beliau diprovokasi wakil pembangkang sehingga melontarkan makian “babi” dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Beliau berkata telah dimaki hamun dengan perkataan pengkhianat, kerajaan pintu belakang dan dipanggil "babi" terlebih dahulu.

“Kerana saya telah dibabikan dulu. Kita dilahirkan untuk jadi manusia, bukan untuk dibabikan.

“Apabila saya sebagai wakil rakyat telah dibabikan, itulah kata paling bagus untuk saya lemparkan pada YB pembangkang pada ketika itu,” katanya dalam sebuah rakaman video yang dimuat naik ke alam maya malam tadi.


Buku 'terbang', tengkingan 'babi' dan 'pengkhianat' dalam DUN


Persidangan DUN Melaka semalam bukan saja menyaksikan insiden kontroversi mengenai penggantikan speaker, malah diwarnai dengan aksi anggotanya.

 Norhizam antara bertekak dengan Low Chee Leong (DAP-Kota Laksamana). Video yang merakamkan Norhizam memanggil Low dan Low menggelarkan pengkhianat kemudian menjadi tular.

 Sementara itu, Norhizam juga berkata beliau pada mulanya hanya berdiam diri dalam dewan tetapi berubah selepas "provokasi" itu.

“Ini yang buat saya marah. Bila saya marah, saya kata dengan YB pebangkang tersebut, siapa yang babi? Siapa makan babi?

"Kalau kita ini muka pun dah macam babi, janganlah perangai macam babi,” katanya yang berkata “terpaksa bertahan”.

Kerajaan PH tumbang di Melaka selepas Norhizam daripada PKR dan Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis daripada PKR mengalihkan sokongan daripada kerajaan PH kepada pembangkang.

Perubahan itu mengekori perubahan tampuk kepimpinan pusat selepas penjajaran semula parti politik di Malaysia yang menyaksikan Bersatu, Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk kerajaan baru.