Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan baru Perak perlu jujur, berintegriti - titah Sultan Nazrin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

DUN PERAK | Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa kerajaan negeri baru yang diberi perkenan untuk ditubuhkan, harus melaksanakan amanah dengan jujur dan berintegriti.

“Kepercayaan beta yang mahukan sebuah pentadbiran yang amanah dan berintegriti hendaklah senantiasa dijunjung; harapan rakyat yang mahukan barisan pemimpin yang bersih dan tidak menyalahgunakan kuasa, wajib dipenuhi.

“Berpada-padalah berpolitik, berpolitik biar ada sempadannya.

“Kebajikan rakyat jangan dikorbankan dan masa hadapan negeri jangan dimusnahkan kerana kepentingan peribadi, kerana percaturan politik yang keterlaluan, atau kerana dorongan sifat tamak dan haloba untuk mengumpulkan kekayaan diri, bagaikan tidak mengenal batasan,” titah baginda.

Sultan Nazrin berkata demikian ketika menyampaikan titah diraja dalam perasmian mesyuarat DUN Perak pertama di bawah pentadbiran kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan Mac lalu.

Kerajaan PN di Perak terdiri daripada 25 Adun Umno, empat dari Bersatu dan tiga dari PAS. Ahmad Faizal dilantik semula sebagai menteri besar oleh Sultan Nazrin pada 13 Mac lalu, meskipun Bersatu merupakan parti minoriti dalam PN.

Covid-19 satu bencana

Berhubung pandemik Covid-19 pula, Sultan Nazrin menyifatkannya sebagai satu bencana dan menitahkan agar rakyat negeri itu bersedia melakukan pengubahsuaian dalam gaya hidup.

“Budaya kerja dalam hasrat membendung penularan dan meminimumkan pendedahan kepada virus, pastinya akan mengubah tingkah laku dan norma sosial, bakal melahirkan 'kebiasaan baru’ atau new normal.

“Cara bekerja, cara berurus niaga, cara mengurus kewangan, cara beribadah, cara keraian, cara berekreasi dan cara menjalani kehidupan seharian akan berubah.

“Minda warga hendaklah bersedia melakukan pengubahsuaian untuk menerima budaya kerja, budaya sosial dan budaya hidup yang baru,” titahnya lagi.

Sultan Nazrin juga menyebut perkara positif mengenai kualiti alam sekitar yang dilaporkan, di sebalik kerumitan yang timbul ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Bumi bagaikan berada dalam tempoh berehat dan pemulihan.”

Titah baginda lagi, situasi tersebut ibarat menjadi “loceng amaran” terhadap kealpaan yang mungkin telah berlaku sebelum ini terhadap pengurusan alam sekitar.

“Pemuliharaan alam sekitar wajib diutamakan dan tidak boleh lagi dikompromikan. Tindakan penguatkuasaan yang tegas dan pantas untuk memastikan kelestarian alam sekitar hendaklah dilaksanakan oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab,” titah baginda lagi.