Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan Nazrin: Perak catat lebihan RM52.3 juta pada 2019

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan Perak merekodkan lebihan berjumlah RM52.3 juta bilion pada 2019, menurut Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Menyampaikan titah diraja di DUN Perak hari ini, Sultan Nazrin bertitah kerajaan negeri mencatatkan hasil sebanyak RM1.15 bilion, manakala membelanjakan RM1.1 bilion.

Menurut Sultan Nazrin, hasil tersebut merupakan 106 peratus berbanding sasaran.

Dipercayai ia merupakan kali pertama negeri mencatatkan lebihan sejak 2016.

"Kerajaan beta akan terus melaksanakan langkah-langkah penjimatan dan akan terus berusaha meningkatkan hasil, demi memastikan kerajaan mempunyai dana yang cukup untuk membiayai pelbagai projek pembangunan," titah baginda.

Titah baginda lagi, untuk 2020, belanjawan negeri berjumlah RM1.2 bilion akan dinilai semula mengikut keperluan semasa, dengan tumpuan kepada projek yang memberi nilai pengganda yang tinggi.

Berkenaan ekonomi, Sultan Nazrin bertitah pada 2019, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) telah meluluskan pelaburan bernilai 10.2 bilion untuk Perak, yang merupakan kelulusan pelaburan tertinggi dalam tempoh sepuluh tahun.

Baginda menggesa kerajaan negeri dan persekutuan untuk menambah baik kemudahan telekomunikasi menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalingan Hubungan Negara (NFCP).

"(Penambahbaikan) di sepuluh kawasan yang telah dikenal pasti merupakan langkah tepat dan tidak harus dilengahkan.

"Peningkatan kualiti jalur lebar, liputan meluas, dan bersifat mampu milik, semoga dapat dimanfaatkan oleh seluruh lapisan rakyat.

"Kerajaan beta perlu melaksanakan perubahan proses kerja daripada cara konvensional kepada perkhidmatan berasaskan digital yang lebih berintegrasi, berintegriti dan berkesan," titah baginda lagi.

NFCP antara lain bertujuan memastikan kelajuan internet antara 500Mbps and 1000Mbps di setiap ibu negeri menjelang 2023.

Ia turut menyasarkan akses internet kepada 98 peratus kawasan berpenduduk dengan purata kelajuan 30Mbps menjelang 2023.