Skip to main
Logo Malaysiakini

17 penyelaras DUN isytihar sokong Mukhriz

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Seramai 17 penyelaras DUN di Kedah tampil menyatakan sokongan terhadap menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Mereka menyatakan pendirian itu dalam sidang media sebentar tadi, di tengah-tengah ketidaktentuan politik negeri setelah pentadbiran PH dikatakan akan dirampas hari ini.

Kata Penyelaras DUN Sungai Limau, Zahran Abdullah, penyelaras-penyelaras DUN menyokong kepemimpinan kerajaan negeri yang telah dipilih dan dilantik secara demokratik untuk terus mentadbir Kedah sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Penyelaras DUN adalah lantikan politik oleh kerajaan sesebuah negeri, di kawasan-kawasan yang mereka tewas kepada pembangkang.

Maklum Zahran, seramai 11 penyelaras DUN hadir sidang media tersebut, manakala yang lain dikatakan tidak dapat hadir kerana keuzuran dan kemalangan, namun menyatakan kesemua 17 menyokong Mukhriz.

Sidang media itu dibuat hanya kira-kira sejam sebelum dua adun PKR di Kedah, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas) mengumumkan keluar daripada parti itu bagi menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sementara Ling menyatakan hilang keyakinan terhadap kepemimpinan presiden PKR Anwar Ibrahim, Azman pula berkata keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan secara mendalam.

Dengan pengumuman Ling dan Azman itu, PH kini kehilangan dua kerusi genting, menjadikannya memiliki hanya 17 kerusi DUN di Kedah, berbanding pembangkang dengan 19 kerusi.

Sementara itu, menurut Zahran, sokongan terhadap Mukhriz dibuat memandangkan kerajaan negeri di bawah Mukhriz telah mendapat mandat dari rakyat pada PRU-14 yang lalu.

Selain itu, katanya, sokongan itu turut dibuat bagi meneruskan agenda pembangunan, ekonomi dan pemerkasaan masyarakat yang rancak berjalan di bawah pentadbiran Mukhriz.

“Kami yakin dan percaya sekiranya kita meletakkan agenda rakyat dan negeri ini mengatasi kepentingan politik, Kedah pastinya dapat kita bangunkan dengan jayanya yang mana akhirnya limpahan kemakmuran dapat dirasai oleh segenap rakyat.

“Kami juga yakin bahawa sekiranya setiap dari kita mengamalkan politik matang dengan meletakkan demokrasi sebagai asas utama keutuhan sesebuah kerajaan maka pastinya rakyat tidak akan kecewa kerana peluang memperbaiki nasib dan masa depan mereka dan negeri adalah terbuka luas,” katanya lagi.