Ngeh letak jawatan speaker DUN Perak
DUN PERAK | Anggota Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham meletakkan jawatan sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Beliau meletakkan jawatan setelah menyampaikan ucapan panjang yang antara lain menekankan kepentingan kedaulatan undang-undang dan tata kelola yang baik.
Menurutnya, undang-undang jelas mengatakan pemilihan speaker baru hanya boleh berlaku jika terdapat kekosongan dan notis perlu diberikan tujuh hari sebelumnya.
"Ia tidak sepatutnya dibuat melalui ancaman," katanya, merujuk percubaan oleh Menteri Besar Faizal Azumu untuk memulakan usul undi tidak percaya bagi mendesak beliau meletakkan jawatan.
Faizal cuba berbuat demikian berdasarkan Peraturan 3 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN, yang menyatakan usul yang dibawa menteri besar perlu diberi keutamaan.
Beliau kemudian menggesa 34 Adun yang menyokongnya untuk bangun dan menyokong usul itu.
Susulan itu, beberapa pegawai DUN cuba mendekati Ngeh untuk memintanya meninggalkan tempat speaker, tetapi beliau enggan berbuat demikian dan berkata mahu melakukannya secara betul.
Ia menyebabkan pertikaian antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, dengan wakil rakyat pembangkang kemudian mendesak agar Ngeh dibenarkan memberikan ucapan.
Ngeh menutup ucapannya dengan mengisytiharkan penangguhan sidang DUN, tetapi Faizal berkata ia tidak boleh berbuat demikian tanpa meluluskan usul terlebih dulu.
Selepas Ngeh keluar, wakil rakyat pembangkang mula keluar dewan tetapi Faizal terus membawa usul untuk melantik Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin sebagai speaker sementara.
Sidang kemudian diteruskan dengan pemilihan bekas Adun Kamunting daripada Umno, Mohammad Zahir Abdul Khalid, sebagai speaker baru.
'Ingin berundur secara terhormat'
Bercakap dengan pemberita kemudian, Ahmad Faizal berkata kesemua 32 adun PN dan tiga adun bebas mengundi untuk mengosongkan kerusi speaker, dan kemudian memilih Zahir untuk jawatan itu.
Bagaimanapun Ngeh menyifatkannya sebagai tidak mengikut peraturan memandangkan beliau telah menangguhkan sidang.
Katanya, sidang tidak boleh dibuat tanpa speaker.
Menceritakan apa yang berlaku hari ini, Ngeh berkata Faizal membawa usul untuk menyingkirkannya berdasarkan Peraturan 13 (2) Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN, tetapi beliau ingin meletakkan jawatan secara terhormat memandangkan PH tidak lagi mempunyai majoriti dalam DUN.
Katanya, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, yang merupakan undang-undang tertinggi negeri, membenarkannya untuk meletakkan jawatan pada bila-bila masa, sdangkan perintah yang dipetik Faizal hanyalah bersifat subsidiari.
"Ketika undang-undang negeri benarkan saya letakkan jawatan, kerajaan negeri memilih untuk mengaibkan saya dengan membawa usul undi tidak percaya. Ini barbarik," katanya.
Kerajaan negeri sepatutnya menunggu tujuh hari selepas kerusi speaker dikosongkan untuk melantik penggantinya, agar semua adun dapat menamakan calon berdasarkan Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN.
"Undang-undang negeri juga menyatakan sebaik sahaja dewan tiada speaker, sidang tidak lagi dibenarkan. Jadi ini ialah kerajaan negeri yang tidak menghormati undang-undang," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai