Skip to main
Logo Malaysiakini

7 lelaki bersut hitam kerumun Ngeh, berjaya dihalang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

DUN PERAK | Pertelingkahan tercetus di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) memulakan langkah untuk menyingkirkan speaker Ngeh Koo Ham.

Langkah itu dimulakan sebaik saja Ngeh menyambung semula sidang, selepas Sultan Nazrin Shah selesai menyampaikan titah diraja dan beredar.

Bagaimanapun Ngeh yang merupakan Adun Sitiawan berkata beliau masih mempunyai kuasa sebagai speaker dan menggesa Adun PN untuk bersabar kerana beliau akan memulakan ucapannya.

Tidak lama kemudian, tujuh lelaki tidak dikenali yang bersut hitam mula mendekati Ngeh dan bentara dilihat bercakap dengannya.

Ngeh kemudian menjelaskan hasratnya untuk meletakkan jawatan. Berdasarkan peraturan, bentara hanya perlu menerima arahan daripada speaker, bukan eksekutif.

"Bentara, dengar arahan saya. Tiada undi, tiada keputusan. Saya ada hak untuk letak jawatan (secara betul)," katanya.

Susulan itu, Adun Pasir Pinji Howard Lee menggesa meeka untuk berundur dan tidak mengulangi insiden pada 2009.

Beliau merujuk insiden pada 7 Mei 2009, apabila bentara dan beberapa yang lain mengheret V Sivakumar daripada kerusi speaker.

Howard Lee

Selain Lee, Adun Pangkor Zambry Abd Kadir, yang juga bekas menteri besar, turut menggesa mereka untuk berundur.

Pertelingkahan berterusan selama beberapa minit sehinggalah Ngeh memberi jaminan bahawa beliau akan meletakkan jawatan.

Adun Simpang Pulai Tan Kar Hing kemudian bertanya kepada Ngeh jika beliau mengarahkan "begitu ramai bentara" untuk berada dalam dewan pada masa itu.

"Siapa yang arahkan anda? Ini intimidasi jenayah," kat Ngeh, yang turut mengancam akan membuat laporan polis.

Pada masa itu barulah semua lelaki bersut hitam meninggalkan dewan dan bentara kembali ke tempat duduknya.

Sidang akhirnya diteruskan dengan Ngeh menyampaikan ucapan panjang berkenaan tata kelola dan kedaulatan undang-undang, sebelum mengumumkan peletakan jawatannya.

Walaupun beliau cuba menangguhkan sidang selepas itu, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu meneruskannya dengan usul melantik Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin sebagai speaker sementara.

Zambry Abd Kadir

Ketika ditemui di luar dewan kemudian, Ngeh memberitahu pemberita bahawa lelaki bersut hitam itu telah diarahkan untuk mengheretnya daripada kerusi speaker, jika keadaan memerlukan.

"Mereka tidak sentuh saya, tetapi berada di sebelah...Ia hampir mengulangi krisis Perak 2009," katanya.

Beliau berkata, ini bermakna kerajaan PN menganggap legislatif sebagai sebahagian daripada eksekutif, dengan kerajaan yang memerintah boleh membuang speaker sewenang-wenangnya.

Beliau menyuarakan penghargaan kepada Zambry yang turut berusaha agar keadaan tidak menjadi lebih buruk.

Ngeh berkata akan membuat laporan polis berkenaan perkara itu.

[Baca berita asal]