Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 1,300 warga asing ditahan sekitar Pasar Borong KL

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Beratus-ratus wanita dan kanak-kanak antara 1,368 pendatang tanpa izin (Pati) yang ditahan semalam dalam serbuan imigresen di Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan berkata seramai 7,551 warga asing diperiksa dalam serbuan awal pagi di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, sebelum mereka dibawa ke Jabatan Imigresen di Jalan Duta.

Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia seramai 421 orang, India (54), Pakistan (6), Myanmar (790), Bangladesh (78), dan selebihnya lain-lain warganegara.

"Jumlah tahanan ini terdiri daripada 1,009 orang lelaki, 261 orang wanita dan 98 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Khairul, operasi yang bermula jam 6.30 pagi itu disertai seramai 1136 orang pegawai yang terdiri daripada pelbagai agensi.

Semalam NGO Tenaganita menyatakan kebimbangan mengenai ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 ketika serbuan dilakukan, terutamanya disebabkan bilangan besar pendatang tanpa izin yang terlibat.

Bagaimanapun Khairul berkata kesemua warga asing yang diperiksa dan Pati yang ditahan telah disahkan negatif daripada wabak Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki dokumen (pas/permit) palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Kesemua mereka akan disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Mereka semua akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selama-lamanya," kata Khairul.

Awal hari ini, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob menegaskan serbuan jabatan imigresen terhadap pendatang asing merupakan operasi berterusan dan tidak hanya dihadkan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Saya percaya selepas tamat PKP ini pun Ops Pati akan berterusan. Jadi, Ops Pati ini tidak ada kena mengena dengan PKP atau PKPB," katanya.