Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR akan ambil tindakan undang-undang pada 2 Adun berpaling tadah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua bekas Adun PKR di Kedah berdepan dengan tindakan undang-undang selepas mereka mengumumkan pendirian meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas hari ini.

Langkah itu sekali gus menyebabkan kerajaan negeri yang dipimpin Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir, hilang sokongan majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri Kedah.

Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul, berkata dengan tindakan kedua-dua Adun berkenaan menyokong Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presiden parti itu, Azmin Ali, ia bermaksud mereka memberikan ketaatan kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN).

"Kami di peringkat negeri telah menjangkakan ini akan terjari kerana melihat gerak-geri kedua-dua Adun ini yang sentiasa bersama dengan Azmin setelah Azmin mengumumkan keluar parti dan menyertai PN.

"Kami sudah menjangkakan mereka akan mengikut langkah yang diambil oleh Azmin dan kawan-kawannya," kata Johari merujuk kepada Dr Robert Ling dan Azman Nasrudin, masing-masing Adun Sidam dan Lunas siang tadi.

Menurut Johari sebelum ini kedua-dua Adun terbabit memberikan ikrar dan menandatangani dokumen memperakui boleh dikenakan tindakan mahkamah jika meninggalkan parti.

Kata ahli parlimen Sungai Petani itu lagi, wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti boleh dikenakan saman sehingga RM10 juta seorang.

"Jadi kepada mereka, bersedialah untuk berhadapan apa juga situasi ini kerana inilah yang saudara janjikan kepada rakyat," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.