Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pengkhianat PH' gembar-gemburkan mitos dicipta Umno, kata Kadir

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Wartawan veteran dan bekas penasihat media perdana menteri, A Kadir Jasin, berkata pengkhianat Pakatan Harapan (PH) kini mengulang gembar-gembur dimulakan Umno kononnya DAP menguasai gabungan berkenaan.

Mengulas catatan blog Dr Mahathir Mohamad petang tadi, Kadir berkata dakwaan berkenaan dimulakan oleh Umno selepas parti terbabit dikalahkan PH dalam pilihan raya umum 2018.

"Sekarang mitos ini digembar-gemburkan pula oleh pengkhianat PH yang bersekongkol dengan Umno dan Pas.

"Mereka ini menang atas tiket PH - yang termasuk di dalamnya DAP - tetapi kerana gilakan kuasa dan dendam kesumat, sanggup berpakat dengan musuh," katanya melalui hantaran di media sosial malam ini.

Sebelum ini Mahathir menjelaskan, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, sebelum ini mendesak agar parti itu meninggalkan PH kerana kononnya Melayu akan dihancurkan oleh DAP.

Bersatu asalnya menyertai PH - yang turut dianggotai PKR dan Amanah - untuk mendapatkan mandat daripada rakyat dalam PRU ke-14 dua tahun lalu.

Kerjasama tersebut berjaya buat pertama kali menafikan BN - yang didominasi oleh Umno - daripada terus menjadi kerajaan. Bagaimanapun Muhyiddin kemudian membawa Bersatu keluar dari PH sekali gus menamatkan kerajaan gabungan berkenaan selama 22 bulan.


Baca Tak ada asas untuk Bersatu tinggalkan PH, kata Dr M


Bagaimanapun Mahathir dan sebahagian pemimpin Bersatu tidak bersetuju dengan Muhyiddin.

Petang tadi Mahathir yang juga pengerusi Bersatu menyatakan rasa malu kerana ada orang Melayu yang begitu takut kepada DAP - sebuah parti berbilang bangsa - sehingga mereka sanggup mengkhianati mandat rakyat.

Kata Mahathir, sejarah membuktikan Melayu mampu mempertahankan kepentingan bangsanya termasuk semasa berdepan dengan penjajah Inggeris.

Kata Kadir Melayu yang percaya bahawa DAP lebih berkuasa daripada mereka adalah orang yang bacul dan hina.

"Apakah Melayu yang berjaya menyelamatkan raja-raja mereka daripada tipu helah penjajah Inggeris, menentang Malayan Union dan memperjuangkan kemerdekaan, boleh diperintah dengan begitu mudah oleh DAP?

"Melayu yang percaya cerita dongeng ini adalah Melayu yang dayus dan mudah diperkotak-katikkan," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.