Skip to main
Logo Malaysiakini

Saringan Covid-19: Perkeso nafi kerjasama dengan MyEG

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menegaskan bahawa ia tidak menjalinkan sebarang bentuk kerjasama dengan My EG Services Berhad (MyEG) berhubung pelaksanaan Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso.

Dalam kenyataan hari ini, Perkeso berkata pendaftaran PSP Perkeso hanya boleh dibuat melalui portalnya di pautan https://prihatin.perkeso.gov.my.

“Syarat dan prosedur saringan dipaparkan di laman web tersebut iaitu www.perkeso.gov.my dan juga media sosial rasmi Perkeso.

“Ujian saringan Covid-19 disediakan secara percuma kepada pekerja dan majikan yang berdaftar dengan Perkeso,” menurut kenyataan itu.

Semalam, MyEG, dalam satu kenyataan, berkata mereka bekerjasama dengan panel klinik berdaftar Perkeso bagi mengatur saringan dijalankan di premis majikan oleh pengamal perubatan dengan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan.

Selain itu, MyEG juga mendakwa menawarkan portal sehenti untuk majikan Malaysia menguruskan keperluan berkaitan saringan Covid-19.

Petang semalam, Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan, dan Pemulihan Perkeso, Dr Azlan Darus dipetik sebagai berkata Perkeso tidak pernah membenarkan sesiapa menguruskan perkhidmatan ujian mandatori Covid-19 buat pekerja.

PSP merupakan program saringan percuma buat pekerja yang berdaftar dengan Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, baik pekerja tempatan mahupun asing.

Pekerja-pekerja yang terlibat dalam program itu merupakan mereka yang bekerja di syarikat yang dibenarkan beroperasi semasa tempoh perintah kawalan pergerakan.

Buat masa ini, pekerja yang berdaftar sebagai pencarum Perkeso termasuk pekerja asing, kos ujian Covid-19 mereka dilindungi dibawah program tersebut.