Skip to main
Logo Malaysiakini

Kadir: Muhyiddin ikrar ‘kita bagi mandat penuh kepada Mahathir’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Wartawan veteran A Kadir Jasin hari ini menyorot rakaman suara yang dikatakan mirip Muhyiddin Yassin yang dipercayai dirakamkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu sebelum parti itu bertindak meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.

Katanya, rakaman audio itu membuktikan bahawa pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) 23 Februari lalu, keputusan untuk keluar dari PH belum dimuktamadkan, namun pada hari sama juga, Langkah Sheraton dilaksanakan.

“ Frasa kunci di sini ialah - kita bagi mandat penuh kepada Tun (Dr Mahathir Mohamad)."

“Jelas mesyuarat MPT pada 23 Februari belum buat keputusan keluar PH. Tetapi malam itu juga Gerakan Sheraton dihebahkan yang melanggar keputusan MPT seperti yang Muhyiddin sendiri simpulkan di atas.

“Di pihaknya, Dr Mahathir merayu diberikan sedikit masa dan tidak dipaksa melanggar prinsip dan mungkir janji beliau kepada PH.

“Tetapi bagi Muhyiddin dan penyokongnya, mesyuarat MPT 23 Febuari adalah sekadar memaklumkan rancangan yang telah beliau dan Mohamed Azmin Ali persetujui dengan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu, Kadir turut mencoretkan transkrip rakaman audio berkenaan, yang menunjukkan suara mirip Muhyiddin berkata memberi mandat penuh kepada Dr Mahathir soal Bersatu keluar daripada PH.

Suara tersebut turut menyatakan menaruh kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan Dr Mahathir dan akan menuruti apa yang diminta bekas perdana menteri itu.

Sumber-sumber memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa rakaman yang dibocorkan di laman web pro-Mahathir itu asli.

Penyebaran rakmaan itu berlaku selepas ketua penerangan Bersatu, Radzi Jidin mendakwa keputusan telah dibuat dalam mesyuarat berkenaan dan Mahathir menyokong keputusan meninggalkan PH sebelum berubah fikiran.

Kata Radzi, keputusan keluar daripada PH telah dimuktamadkan oleh MPT pada mesyuarat 23 Februari berkenaan.

Pada malam 23 Februari, Muhyiddin dan pemimpin Bersatu yang lain telah berkumpul dengan kumpulan yang diketuai bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, pemimpin Umno dan PAS di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, dalam apa yang dikenali sebagai "Langkah Sheraton".

Ini mencetuskan krisis politik selama seminggu setelah Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, dan berakhir apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac.

Mahathir mendakwa Muhyiddin dan penyokongnya mengabaikan hasratnya untuk kekal berada dalam PH berikutan mesyuarat majlis presiden gabungan itu pada 21 Februari.

Untuk rekod, Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH pada 24 Februari, hari yang sama Dr Mahathir mengumumkan meletak jawatan sebagai perdana menteri.