Skip to main
Logo Malaysiakini

'Diapit 6 exco Umno, MB Bersatu kini tempang'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu kini telah menjadi “menteri besar tempang” susulan Umno yang berjaya menguasai majlis mesyuarat kerajaan negeri Perak dengan enam daripada 10 jawatan exco.

Malah, kata Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Aziz Bari, dengan kedudukan itu, Umno boleh menolak sebarang keputusan yang dibuat oleh menteri besar.

“Mulai 12 Mei, majlis mesyuarat kerajaan negeri Perak mempunyai 10 orang ahli exco, iaitu enam orang dari Umno, dua dari Bersatu dan dua lagi dari PAS.

“Dengan kata lain, parti Umno kini menjadi dominasi dan boleh membuat ketetapan menolak sebarang keputusan menteri besar yang kini jelas menjadi minoriti.

“Mengikut prinsip sistem demokrasi berparlimen, enam orang ahli exco Umno boleh mengundi sebulat suara untuk menolak keputusan menteri besar dan inilah hakikat politik setelah Perikatan Nasional membentuk sebuah kerajaan tanpa mandat dari rakyat,” kata Aziz.

Untuk rekod, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bersama DAP, PKR dan Amanah, parti Ahmad Faizal, Bersatu yang juga adalah parti minoriti tetapi tidak ada parti yang mempunyai jumlah majoriti seperti yang dimiliki oleh Umno.

Aziz - yang adalah exco pendidikan, persekitaran, teknologi hijau dan maklumat sebelum ini - menjelaskan bahawa penguasaan Umno kini juga diperluaskan dalam kerajaan tempatan.

“Seperti contoh, di Majlis Bandaraya Ipoh, Umno mempunyai lapan orang ahli majlis, sebaliknya Bersatu hanya mempunyai empat orang saja.

“Keadaan yang tidak seimbang ini bakal mengugat kedudukan menteri besar kerana tanpa sokongan Umno, Ahmad Faizal dijangka akan kehilangan jawatannya,” katanya.

Sehubungan itu, kata Adun Tebing Tinggi berkenaan, PH akan terus menumpukan fokus untuk menyemak dan mengimbang kuasa eksekutif kerajaan Perak demi memastikan mereka berlaku adil serta mengikut prinsip ketelusan, bersih, berintegriti dan bertanggungjawab.

Katanya, pada masa sama, PH akan terus menumpukan fokus menjadi alternatif kepada rakyat Perak supaya gabungan itu menjadi pilihan utama mereka jika pilihan raya negeri diadakan pada bila-bila masa.

Semalam, Speaker Perak Ngeh Koo Ham membuat laporan polis terhadap individu tidak dikenali, yang cuba mengeluarkan dirinya daripda persidangan DUN semalam, tidak lama selepas Sultan Nazrin Shah berangkat.

Ngeh mendakwa bahawa lelaki berkenaan berbuat demikian atas arahan wakil Perikatan Nasional (PN) yang kemudiannya dilantik menjadi Speaker baru.

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak mengingatkan Aziz bahawa lima exco kerajaan negeri Perak sewaktu PH memerintah adalah daripada DAP

"Eh.. Aziz, Ko (kau) lupa? Dari 10 orang exco kerajaan PH Perak dahulu yang sudah tumbang, lima adalah dari parti DAP (termasuk Aziz Bari), tiga dari parti Amanah dan dua PKR.

"Masa itu, MB Perak tak tempang, tak apit dan tak jadi minoriti pulak? DAP dan Amanah boleh, Umno tak boleh?," soal Najib di Facebook hari ini.

Jelas Najib, sekurang-kurangnya Bersatu masih ada dua exco sekarang berbanding tiada seorang pun pada era pentadbiran PH di Perak.

"Kalau nak hasut pun, DAP perlu lebih cerdik sikit," sindir Najib.