Skip to main
Logo Malaysiakini

'Norhizam jerit 'babi, duduk!' dahulu'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Adun Kota Laksamana Melaka menafikan tuduhan bekas ahli partinya yang mendakwa beliau memulakan pertikaman lidah di persidangan DUN dua hari lalu, yang menyebabkan video jeritan perkataan “babi” dan “pengkhianat” kini tular di media sosial.

Low Chee Leong, yang merupakan wakil rakyat DAP, mendakwa Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas) memulakan kekecohan itu terlebih dahulu.

“Awalnya, Adun Sungai Udang (Idris Haron- Umno) menggangu Speaker untuk membaca doa bagi memulakan persidangan.

“Kemudian, kami wakil Pakatan Harapan (PH) berdiri untuk meminta Sungai Udang supaya duduk dan ikut agenda.

“Ketika inilah Norhizam merenung dan menjerit ‘babi duduk!’ kepada kami,” kata Low kepada Malaysiakini setelah ditanya berikutan kejadian tersebut.

Semalam Norhizam mendakwa beliau diprovokasi wakil rakyat pembangkang sehingga melontar perkataan 'babi'.

“Saya cabar dia untuk buktikan dakwaanya,” kata Low.

Pada Isnin lalu, sidang DUN Melaka yang pertama terganggu ketika ia baru sahaja hendak bermula apabila adun dari kedua-dua parti bertikam lidah berikutan keengganan Speakar Omar Jaafar menerima usul yang dikemukakan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali (Lendu-Umno).

Untuk rekod, persidangan ini merupakan kali pertama diadakan sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan dari PH.

Omar yang merupakan bekas ketua PKR Melaka dilantik sebagai Speaker DUN sewaktu pentadbiran PH pada 2018.

Ketika Idris dan Omar bertikam lidah berhubung usul terbabit, Norhizam dan Low pula berbalas kata kejian antara satu sama lain.

Norhizam didengar memanggil Low “babi” manakala Low pula menggelar Norhizam “pengkhianat’.

"Babi! Babi! Babi! Babi!" kata Norhizam sambil menundingkan jarinya kepada Low.

"Kau pengkhianat!" balas Low pula.

Gelarang “pengkhianat” itu dipercayai merujuk kepada tindakan Norhizam yang keluar dari DAP bagi menyokong Perikatan Nasional (PN) sekali gus membawa kepada kejatuhan kerajaan PH Melaka.

Norhizam memenangi kerusi Dun atas tiket DAP pada pilihan raya umum ke-14 pada 2018.