Skip to main
Logo Malaysiakini

Kunjungan cuma dibenar pada raya pertama - Ismail Sabri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kunjungan Hari Raya Aidilfitri hanya dibenarkan pada hari pertama perayaan itu.

Jelasnya, peraturan yang sama juga terpakai pada ziarah sempena sambutan Hari Gawai di Sarawak dan Hari Kaamatan di Sabah.

“Jumlah maksimum 20 orang sehari ini juga perlu mengambil kira saiz kediaman masing-masing bagi memastikan prosedur operasi jarak sosial dapat diamalkan.

"Katakan rumah flat 600 kaki persegi, 20 orang dalam satu (masa) terlalu ramai dan sukar ada jarak sosial. Jadi mungkin jumlah individu itu perlu dikecilkan.

“Prosedur operasi standard berkaitan amalan penjagaan kesihatan perlu diikuti sewaktu berkunjung seperti pemakaian pelitup separuh muka, cecair pembasmi kuman dan basuh tangan dengan sabun sewaktu menziarah,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, amalan ini perlu diamalkan dan diterapkan kerana kerajaan tidak mahu apa yang berlaku di negara lain terjadi di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata ziarah kunjung-mengunjungi itu juga akan dihadkan hanya untuk ahli keluarga dan terhad maksimum 20 orang sepanjang hari.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada perutusan khasnya Ahad lalu berkata ziarah Hari Raya Aidilfitri di negeri yang sama akan dibenarkan dengan kehadiran maksimum 20 orang pada satu-satu masa.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.