Skip to main
Logo Malaysiakini

Timb speaker ingatkan MP hadir sidang Dewan Rakyat Isnin ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Semua ahli parlimen diingatkan supaya menghadirkan diri dalam persidangan Dewan Rakyat pada Isnin ini (18 Mei) atau berhadapan dengan tindakan disiplin.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon berkata persidangan kali ini adalah amat penting selepas ia direhatkan hampir enam bulan.

Katanya, justeru itu tidak ada sebab untuk ahli-ahli parlimen tidak dapat menghadirkan diri melainkan mempunyai alasan kukuh secara bertulis seperti yang berkaitan dengan masalah kesihatan.

“Ahli-ahli Yang Berhormat (YB) diminta hadir dan mengikut apa yang telah ditetapkan. Sekiranya tidak hadir tanpa alasan kukuh, keahlian Dewan Rakyat ahli YB berkenaan akan bermasalah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bungkusan barangan keperluan oleh Persatuan Kontraktor Kelas F Batu Pahat (PKKF) kepada golongan memerlukan di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram di Batu Pahat, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi PKKF, Sh Mohd Najib Sh Ali.

Mohd Rashid berkata sebagai langkah kesihatan, semua staf dewan yang terlibat dalam persidangan itu telah pun menjalani ujian pemeriksaan Covid-19 hari ini, disusuli dengan pemeriksaan dalam kalangan Ahli Parlimen yang akan diadakan esok dan lusa (Jumaat).

Langkah dilaksanakan bagi memastikan kesemua mereka yang hadir ke kawasan Parlimen kelak adalah bebas daripada dijangkiti wabak terbabit, katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.