Skip to main
Logo Malaysiakini

Aduan 6 pemimpin Bersatu sia-sia, kata sumber

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sumber yang rapat dengan Lembaga Disipilin Bersatu tidak melihat sebarang isu dengan langkah parti itu memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi tanpa kehadiran pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presidennya, Mukhriz Mahathir.

Ini kerana, sumber itu berkata mesyuarat majlis tertinggi itu telah dibatalkan, sekali gus menjadikannya satu isu akademik.

"Adakah mesyuarat itu diadakan? Kamu semak. Ia bukan satu isu. Mengapa terganggu tentang perkara yang 'akademik'?" kata sumber berkenaan kepada Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

"Orang tak puas hati, bukan isu disiplin. Malah semua ini bukan masalah dispilin sama sekali," katanya.

"Niat sahaja tidak akan menjadikan sesuatu itu jenayah dalam undang-undang jenayah!" katanya.

Semalam, enam pemimpin Bersatu menulis surat kepada Lembaga Disiplin parti, menggesa siasatan dan tindakan diambil terhadap mereka yang memanggil mesyuarat majlis tertinggi yang dijadual pada 11 Mei lalu.

Mesyuarat itu, yang kemudiannya ditunda, dijadual diadakan tanpa kehadiran Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presidennya Mukhriz Mahathir.

Menurut surat yang dilihat Malaysiakini itu, enam pemimpin berkenaan mahu tindakan diambil terhadap mereka yang mengarahkan mesyuarat itu diadakan, yang disifatkan sebagai tidak sah dan melanggar perlembagaan Bersatu.

Mesyuarat Majlis Tertinggi itu ditangguhkan berikutan laporan media mengenai penentangan terhadap Mahathir dan Mukhriz, yang mungkin menyaksikan kedua-dua beranak itu dipecat daripada Bersatu.

Bersatu kini berpecah antara kumpulan yang menyokong presiden parti, Muhyiddin Yassin dan mereka yang menyokong Mahathir.

Kumpulan Muhyiddin menentang Mahathir dan Mukhriz kerana kritikan terbuka mereka terhadap keputusan meninggalkan PH untuk bergabung bersama Umno, PAS dan beberapa parti lain.