Skip to main
Logo Malaysiakini

Hanya pengerusi boleh panggil mesyuarat Bersatu - Mukhriz

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hanya Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad boleh memanggil mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, kata timbalan presidennya, Mukhriz Mahathir.

Beliau mengulas tindakan memanggil mesyuarat berkenaan pada 11 Mei lalu tanpa kehadiran Mahathir, sebelum mesyuarat itu ditunda ke tarikh lain.

Menurut Mukhriz, kedudukan Mahathir selaku pengerusi turut diiktiraf Muhyiddin sendiri selaku presiden parti.

"Jadi, saya ingat ini tak betul.

"Mesyuarat MPT hanya boleh dipanggil oleh pengerusi parti dan diiktiraf oleh semua pihak, termasuk Tan Sri Presiden (Muhyiddin Yassin) sendiri bahawa Tun Mahathir adalah pengerusi parti Bersatu dalam kenyataan-kenyataan sebelum ini, surat menyurat antara Tan Sri dengan Tun pun mengakui Tun sebagai pengerusi parti.

"Jadi, kalau Tun pengerusi parti tak panggil mesyuarat MPT macam mana orang lain boleh panggil.

"Kemudian tak jemput (pengerusi) pula, tak bolehlah. Dalam mana-mana mesyuarat pun kena panggil semua," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Pada 11 Mei lalu, Bersatu dilaporkan mahu mengadakan mesyuarat MPT tanpa kehadiran Mahathir dan Mukhriz sebelum ditunda ke satu tarikh lain.

Notis penangguhan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya kepada pimpinan tinggi parti tersebut.

'MPT tak boleh buang sesiapa pun'

Mengulas desas desus usaha pemecatan beliau dan Mahathir, Mukhriz secara sinis menyindir setiausaha agung Bersatu yang baru, Hamzah Zainuddin.

"Tak tahulah (pemecatan sebagai anggota Bersatu), mungkin bila menteri dalam negeri sendiri nak diangkat sebagai setiausaha agung parti kita, jadi mungkin perlembagaan itu dah tak penting bagi dia. Ikut suka hati dia, boleh langar perlembagaan," katanya.

Selain itu, Mukhriz juga menuntut Bersatu memberi peluang kepadanya mempertahankan diri atas setiap pertuduhan mahupun dakwaan, sekiranya ada.

"Proses dia adalah kalau ada kesalahan dilakukan, aduan mesti dibuat kepada lembaga disiplin parti. Kemudian siasatan oleh lembaga disipin, selepas itu mungkin ada surat tunjuk sebab terhadap pihak tersebut dan dia diberi peluang untuk mempertahankan diri dalam lembaga disiplin.

"Selepas itu lembaga disiplin mengeluarkan hukuman, tetapi masih ada peluang untuk buat rayuan dengan jawatankuasa rayuan.

"Jadi, proses masih panjang. MPT tidak boleh buat keputusan membuang sesiapa pun. Jadi, yang itu kena jelas," katanya.

Tambah Mukhriz, beliau juga sehingga kini tidak menerima sebarang surat mahu pun aduan salahlaku daripada partinya.

"Setakat ini tidak ada terima surat atau aduan, kami pun tunggu juga sebab tak sabar nak jawab. Soalan-soalan yang saya sendiri kemukakan pun sampai sekarang tak berjawab juga," katanya.

Pada 24 Februari lalu, Mahathir mengumumkan secara mengejut meletakkan jawatan perdana menteri manakala Muhyiddin mengumumkan parti itu keluar daripada PH.

Krisis ini selesai apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Bersatu kini dilihat berpecah dua kepada kem Muhyiddin dan kem Mahathir.