Skip to main
Logo Malaysiakini

MPT Bersatu tidak boleh pecat ahli begitu saja - Mukhriz

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir, mengingatkan majlis pimpinan tertinggi parti (MPT) tersebut agar mengikut proses yang betul jika mahu mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana anggotanya.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas tersebar cakap-cakap mendakwa pemimpin Bersatu bercadang menyingkirkan Mukhriz dan Dr Mahathir Mohamad daripada parti berkenaan.

Untuk rekod, Mahathir ialah pengerusi Bersatu. Beliau serta Mukhriz adalah sebahagian kecil pemimpin parti berkenaan yang enggan menyertai langkah Muhyiddin bekerjasama dengan Umno dan BN.

Kata Mukhriz jika ada cubaan mengenakan tindakan disiplin ke atas beliau dan Mahathir, mereka wajar diberi peluang untuk membela diri.

"Benarkan kami untuk mempertahankan diri kalau ada apa pun apa-apa tuduhan salah laku, pelanggaran perlembagaan parti atau sebagainya," kata Mukhriz pada sidang media di Alor Setar, Kedah hari ini.

Malaysiakini pada Ahad lalu melaporkan MPT Bersatu sepatutnya bermesyuarat pada 11 Mei (Isnin). Tidak seperti selalu apabila pertemuan MPT Bersatu diadakan di bangunan parti berkenaan, mesyuarat itu dijadual diadakan di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Mahathir dan Mukhriz pula tidak dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan di sebalik jawatan kanan yang mereka sandang dalam Bersatu. 

Ia mengundang kemungkinan ada usaha mengetepikan Mahathir dan Mukhriz daripada Bersatu.

Masih boleh buat rayuan

Bagaimanapun beberapa jam kemudian Bersatu membatalkan mesyuarat berkenaan ke tarikh yang belum ditetapkan.

Menurut Mukhriz mengikut peraturan parti jika ada sebarang tindakan mahu diambil ke atas anggota parti yang disyaki melakukan kesalahan, langkah pertama ialah mengemukakan aduan kepada lembaga disiplin.

"Selepas tu siasatan dijalankan oleh lembaga disiplin, kemudian mungkin ada surat tunjuk sebab terhadap pihak tersebut dikeluarkan dan dia (pihak yang dituduh) diberi peluang mempertahankan diri.

"Kemudian baru lembaga disiplin boleh menjatuhkan hukuman," katanya lagi.

Pun begitu, Mukhriz menegaskan selepas hukuman ditetapkan pihak yang terbabit masih boleh mengemukakan rayuan.

Katanya proses tersebut adalah panjang, justeri MPT tidak boleh membuat keputusan untuk membuang keanggotaan seseorang dengan begitu saja.

Pada masa sama beliau menjelaskan pihaknya belum menerima sebarang surat aduan daripada Bersatu.

"Tak ada... tak ada, kami pun tertunggu-tunggu juga. Tak sabar nak jawab," katanya.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.