Mahdzir jawab Maszlee: Saya hanya saksi, bukan OKT
Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid, menyifatkan tindakan Maszlee Malik mengaitkan dirinya dengan skandal pemasangan tenaga solar hibrid di Sarawak sebagai cubaan untuk memburukkan imej selepas beliau dilantik menjadi pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Mahdzir malah mempersoalkan Maszlee - yang juga bekas menteri pendidikan - sama ada faham atau tidak mengenai proses perudangan.
Kata ahli parlimen Padang Terap itu lagi, kehadiran beliau di mahkamah sebelum ini adalah kerana dipanggil menjadi saksi bagi kes berkenaan saja disebabkan kedudukannya sebagai menteri pendidikan sebelum ini.
"Mana ada berita yang mengatakan saya dituduh sebagai OKT (orang kena tuduh). Saya hanya saksi yang dipanggil bagi kes berkenaan.
"Maszlee ini dia tidak faham, dia bercakap seolah-olah saya terlibat dalam kes itu, saja nak burukkan imej saya, nak calarkan reputasi saya," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Terdahulu Maszlee dalam satu tulisannya hari ini mempersoal pelantikan Mahdzir sebagai pengerusi baru TNB sedangkan beliau dikaitkan dengan projek projek tenaga solar yang kini dibicarakan di mahkamah.
Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor, adalah tertuduh dalam kes rasuah berkenaan.
Ia membabitkan dakwaan penyelewengan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Tak faham pendirian Maszlee
Meskipun tidak memetik nama Mahdzir, kenyataan Maszlee jelas ditujukan kepada pemimpin kanan Umno terbabit.
"Tidak usah pergi jauh, di dalam pendidikan sendiri lihatlah kes projek solar sekolah luar bandar Sarawak yang sudah mula dibicarakan.
"Perhatikanlah bagaimana pertelingkahan sesama sendiri berlaku oleh watak-watak yang mahu menyelamatkan diri daripada didakwa.
"Sayang sekali perbicaraan kes itu tidak dapat diselesaikan sebelum PH jatuh. Hari ini, watak yang terlibat secara langsung dengan projek tenaga solar tersebut mendapat jawatan sebagai pengerusi GLC (yang juga berkaitan dengan 'tenaga')," katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.
Dalam pada itu Mahdzir turut menyatakan rasa tidak faham dengan pendirian politik Maszlee yang didakwanya ada masa cenderung kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, namun kini dilihat menyebelahi Dr Mahathir Mohamad.
"Saya pun tak faham juga dengan Maszlee ini, di mana beliau berada sekarang?
"Menyokong Muhyiddin atau sudah kembali kepada Tun M, atau 50-50," kata Mahdzir lagi.
Baca Sah Mahdzir terajui TNB, Tajuddin ketuai Prasarana
Sementara itu, peguam Mahdzir, C Vignesh Kumar, turut menegaskan bahawa anak guamnya hanya dipanggil sebagai saksi bagi kes terbabit dan memberikan kerjasam yang baik kepada pihak berkuasa.
Justeru katanya sebarang tuduhan mengaitkan Mahdzir dengan kes berkenaan adalah berniat jahat.
Jelasnya, Mahdzir sedia mempertimbang tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak berniat jahat dan cuba memfitnahnya.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai