Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin AMK lapor polis terhadap Anwar, dakwa buat berita palsu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang setiausaha pemuda PKR (AMK), cabang Teluk Kemang membuat laporan polis terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim kerana didakwa berkongsi "berita palsu" mengenai bilangan pendatang tanpa izin di negara ini dan dakwaan kedai nombor ramalan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Farid Hashim dalam satu kenyataan berkata, Anwar membuat kenyataan mengelirukan itu dalam dua sesi siaran langsung di Facebook. 

"Kesalahan ini amat serius memandangkan kedudukan beliau selaku presiden PKR dan ahli parlimen.

"Kenyataan beliau menjadi bahan berita banyak pihak," kata Farid yang juga koordinator Pemuda Negara, sebuah NGO yang diketuai oleh Adun Gombak Setia, Hilman Idham dan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

"Satu tindakan harus diambil dan saya membuat laporan ke atasnya. Jangan nanti rakyat melihat jika orang biasa memulakan berita palsu ditahan dipenjara, didenda tetapi pemimpin politik tidak dikenakan tindakan," katanya.

Pada 28 April lalu, exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo juga membuat laporan polis terhadap Anwar atas perkongsian berita palsu mengenai bilangan pekerja asing tanpa izin di negara ini.

Pada masa itu, pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menjelaskan pengerusi Pakatan Harapan itu memetik angka 6.7 juta pekerja asing dan lebih kurang empat juta pendatang tanpa izin dari laporan berita yang memetik sebuah NGO tempatan.

Jabatan Perangkaan mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sebarang data rasmi mengenai bilangan pendatang tanpa izin.

Sementara itu, Farid juga memetik kenyataan Anwar pada 5 Mei yang mempertikaikan kedai nombor ramalan yang didakwa dibuka dalam tempoh PKP.

Sedangkan katanya, unit respon pantas KKMM dalam kenyataan medianya 4 Mei 2020 menyebut semua agensi nombor ramalan tidak dibenarkan beroperasi sehingga diberitahu kelak.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyiasat 262 kes berita palsu berkaitan Covid-19 sehingga 11 Mei.

Daripada jumlah itu, 179 masih dalam siasatan manakala 29 telah didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.