Skip to main
Logo Malaysiakini

160 kes pencemaran sungai dilaporkan ketika PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebanyak 160 tindakan penguatkuasaan diambil ekoran kes pencemaran sungai yang berlaku antara 18 Mac dan 4 Mei ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.

Daripada jumlah itu, dua kilang digantung operasi iaitu kilang pembuatan sarung tangan di Ipoh, Perak, selama dua minggu kerana menyebabkan pencemaran sungai seperti yang tular dan kilang memproses kelapa sawit di Jalan Batu Pahat, Johor, pula digantung tiga bulan kerana menyebabkan pencemaran ammonia pada sumber air mentah, katanya.

Tindakan lain turut melibatkan sembilan kes siasatan dibuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain mengeluarkan 94 notis arahan dan 50 kompaun, katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan 'Ops Air Raya' melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara bagi memastikan sungai bebas daripada sebarang pencemaran bahan buangan industri dan domestik bermula esok hingga 29 Mei.

"Program ini merupakan program tahunan yang dibuat pada setiap musim perayaan, yang juga melibatkan kawal selia air negeri, operator air serta pihak berkuasa tempatan dalam memastikan masalah gangguan bekalan air dan pembentungan dapat diminimumkan sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Sepanjang tempoh tersebut, katanya pemantauan dan rondaan akan dilakukan di kawasan strategik dan berisiko berlakunya pencemaran air berdasarkan rekod, pengalaman dan maklum balas orang ramai.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran sungai di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan-peraturan di bawahnya.

- Bernama