Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu Puchong: Aduan mengenai mesyuarat MPT 11 Mei bukan pendirian bahagian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bersatu Bahagian Puchong menolak untuk dikaitkan dengan aduan anggota bersekutunya kepada lembaga disiplin parti untuk menyiasat pihak di belakang mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) 11 Mei yang telah dibatalkan.

Ketua Bersatu Bahagian Puchong Mohd Shukor Mustaffa berkata hanya kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua bahagian dan ketua-ketua sayapnya sahaja yang boleh menjadi pendirian rasmi mengenai perkara itu.

"Kami juga ingin mengambil kesempatan disini untuk menjelaskan bahawa segala kenyataan yang dibuat di media sosial dan lain-lain yang mengunakan nama bahagian Puchong selain kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua bahagian, ketua-ketua sayap bahagian adalah dengan ini kita mengisytiharkan tidak sah dan bukan pendirian rasmi bahagian.

"Ia hanyalah pandangan pribadi individu tersebut,” kata Shukor pada suatu kenyataan media malam tadi.

Jelasnya, pendirian rasmi Bersatu Puchong adalah menyanjung pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad dan menghormati Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri dan presiden parti.

"Justeru, kami juga ingin mengingkatkan dan mengajak semua pihak untuk berdamai dan berhenti berpolitik seketika dan menyokong segala usaha negara dalam menghadapi pandemik covid-19 yang sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada negara kita dari segi kesihatan dan ekonomi," katanya.

Shukor mengulas laporan Malaysiakini yang memetik ahli bersekutu Bersatu Puchong, Sarafdeen Abdul Hamid yang mengesahkan memfailkan aduan kepada jawatankuasa disiplin parti.

Artikel itu melaporkan enam pemimpin Bersatu dan ahli-ahlinya menulis surat kepada lembaga disiplin parti itu bagi menggesa siasatan dan tindakan diambil terhadap mereka yang memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi yang dijadualkan pada 11 Mei lalu.

Mesyuarat itu, yang kemudiannya ditunda, dijadual diadakan tanpa kehadiran Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presidennya, Mukhriz Mahathir.

Menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini, enam pemimpin berkenaan mahu tindakan diambil terhadap mereka yang mengarahkan mesyuarat itu diadakan, yang disifatkan sebagai tidak sah dan melanggar perlembagaan Bersatu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.