Skip to main
Logo Malaysiakini

DUN Johor kekal status quo

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sidang Dewan Undangan Negeri Johor berakhir tanpa perubahan hari ini dengan parti pemerintah dan pembangkan patuh kepada titah Sultan Johor untuk tidak "menyebarkan virus perpecahan dengan berpolitik."

Ini meskipun Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional di Johor sebelum ini dispekulasikan akan menyerang antara satu sama lain.

Pada sidang media selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merasmikan DUN Johor, Menteri Besar, Hasni Mohammad berkata beliau akan memastikan semua Adun sama ada kerajaan atau pembangkang patuh dengan titah tuanku.

"Pada pagi ini saya ingin menegaskan bahawa pihak wakil rakyat bersama-sama dengan Adunnya menunjukkan rasa setuju dan ambil serius dengan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

"Saya menyeru ahli dewan sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, sebagai ahli dewan kita haruslah menerima nasihat di bawah duli tuanku dengan kita terus memikul tanggungjawab dan amanah untuk bantu rakyat.

"Diharapkan di antara kita sebagai wakil rakyat, kita dapar terjemahkan virus perpecahan sebagai lebih serius daripada Covid-19 ni supaya ianya dapar dijadikan peringatan dalam kita memikul amanah dan tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat," katanya di bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Johor Bharu hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah menasihatkan sidang DUN Johor hari ini supaya tidak menyebarkan 'virus perpecahan' dengan berpolitik.

Nasihat baginda di tengah-tengah spekulasi kemungkinan tercetus perbalahan antara parti pemerintah negeri yang baru, PN dan PH.

Menurut Hasni, semua ahli dewan dikehendaki supaya berganding bahu untuk membantu rakyat.

"Kita amat zahirkan rasa syukur titah duli tuanku kerana saya percaya bahawa wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang akan terus berpegang kepada cara Johor yang akan elak daripada berkonfrontasi dan juga bersengketa sebagai budaya dan cara kita berada dalam dewan.

"Mendahului kekitaan dan tak pentingkan diri sendiri adalah sebahagian besar ciri-ciri dan cara Johor dalam kita laksanakan tanggungjawab kita dan saya yakin dan percaya bahawa ahli dewan, negeri dan kerajaan memandang amat penting titah duli tuanku itu agar dijunjung," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, sumber Bersatu mendakwa bahawa PN mengumpulkan akuan bersumpah (SD) untuk menyokong usaha untuk menyingkirkan Speaker DUN Suhaizan Kaiat, yang merupakan pemimpin parti Amanah.

Manakala PH pula merancang untuk membuat usul tidak percaya terhadap Hasni.

Pada masa sama, Penyelaras PH, Aminolhuda Hassan berkata pihaknya akan menurut titah tuanku dan akan menumpukan sepenuh perhatian kepada membantu rakyat dalam isu pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa PH telah bersiap sedia sekiranya PN membawa sebarang usul selepas titah tuanku.

Aminolhuda mendakwa PH mempunyai jumlah sokongan yang cukup untuk bertindak ke atas PN.

"Kita tunggu dan lihat," katanya apabila ditanya mengenai jumlah sokongan.