Skip to main
Logo Malaysiakini

AMK Kedah kutuk tindakan Adun Sidam dan Lunas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemuda PKR (AMK) Kedah hari ini mengecam tindakan Adun Sidam, Dr Robert Ling dan Adun Lunas, Azman Nasrudin, atas tindakan mereka meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas sekali gus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin serta kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Mohammed Firdaus Johari, berkata tindakan itu jelas merupakan pengkhianatan kepada mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Tindak-tanduk dan sikap yang ditunjukkan mereka berdua yang sentiasa membelakangi arahan parti selama ini akhirnya diterjemahkan dengan pengkhianatan yang mereka lakukan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Ling dan Azman membuat keputusan meninggalkan PKR selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan presiden parti itu, Anwar Ibrahim.

Susulan, ia turut membuka ruang berlakunya perubahan dalam pentadbiran kerajaan Kedah apabila Pakatan Harapan (PH) didakwa hilang majoriti di DUN, manakala PN mendakwa mempunyai cukup sokongan untuk membentuk kerajaan baru.

Sementara itu Mohammed Firdaus berkata, AMK Kedah yakin pengundi di Lunas dan Sidam akan mengingati peristiwa yang berlaku berkenaan dan menghukum mereka dalam pilihan raya akan datang.

"Adun Sidam dan Adun Lunas telah bertanding dan mendapatkan sokongan pengundi dengan menggunakan lambang PKR sejak dua penggal lalu. Pengundi telah membuat pilihan dan memberikan mandat dengan memangkah lambang PKR.

"AMK Kedah yakin pengundi di DUN Sidam dan Lunas pasti akan mengingati peristiwa hitam yang berlaku ini dan bersedia untuk menghukum mereka dalam PRU ke-15 yang akan datang," jelasnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.