Skip to main
Logo Malaysiakini

Masjid, surau di Perak 'dibuka' dengan syarat ketat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid dan surau diri Jumaat bermula esok selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari, berkata baginda turut memberi perkenan untuk solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid dan surau pada pagi 1 Syawal.

Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat. Antaranya bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang termasuk imam dan khatib.

"Masjid dan surau bagaimanapun masih tidak dibuka kepada orang awam. Pengerusi jawatankuasa kariah hendaklah mengenal pasti dan menetapkan bahawa jemaah yang dibenarkan hadir terbatas kepada kalangan ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid atau surau.

"Individu yang berusia lebih 60 tahun tidak digalakkan hadir berjemaah. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema, sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir," menurutnya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

Selain itu, Shahrul Azam berkata setiap jemaah hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan, merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran serta mengambil wuduk sebelum datang ke masjid atau surau dan membawa sejadah masing-masing.

Beliau berkata jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat dibenarkan menggunakan pembesar suara luar semasa bacaan teks khutbah serta takbir untuk manfaat ahli-ahli kariah di sekitarnya.

Jemaah tak boleh bersalam

Syarat lain, katanya, tempoh dari mula azan, khutbah sehingga selesai solat Jumaat serta tempoh mula bertakbir sehingga selesai khutbah solat sunat Aidilfitri dihadkan tidak melebihi 20 minit.

"Teks khutbah solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) hendaklah ringkas dan padat dengan masa penyampaian tidak melebihi 10 minit.

"Penyusunan saf dan kedudukan hendaklah mematuhi prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan para jemaah hendaklah bersurai serta tidak mengadakan sebarang jamuan makan minum di masjid atau surau selepas selesai urusan solat," katanya.

Beliau berkata pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat wajib memastikan semua syarat dipatuhi dan kebenaran akan ditarik balik bagi yang gagal mematuhinya.

Shahrul Azam berkata arahan dan ketetapan itu hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga pihaknya mengeluarkan arahan baru.

Sementara itu, Pengarah JAIPk, Mohd Yusop Husin, berkata jemaah tidak dibenarkan bersalaman sebelum atau selepas solat Jumaat sama ada di dalam atau di luar masjid dan surau, serta perlu keluar secara tenang dengan mematuhi penjarakan sosial.

Selain itu, katanya amalan iktikaf di dalam masjid selepas solat Jumaat tidak dibenarkan.

Mengenai tatacara solat Jumaat, Mohd Yusop berkata tempoh solat hanya tujuh minit dengan imam digalakkan membaca surah dan ayat yang pendek serta bacaan doa dan zikir maksimum tiga minit.

"Bagi solat sunat Aidilfitri, takbir hendaklah dimulakan pada pukul 8.45 pagi pada 1 Syawal dan solat dilaksanakan pada 9 pagi.

"Imam digalakkan membaca surah dan ayat yang pendek, tempoh masa doa dan zikir selepas solat maksimum tiga minit dan tempoh masa bacaan khutbah pertama dan kedua hanyalah 10 minit," katanya.

Tambah Mohd Yusop, jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat perlu membuka pintu masjid hanya sejam sebelum azan serta menutupnya secepat mungkin selepas solat selain memastikan pengudaraan yang baik dalam ruang solat dengan membuka tingkap serta menggunakan kipas angin.

"Nama dan nombor telefon jemaah yang akan hadir solat perlu diambil sehari sebelum solat diadakan," kata Mohd Yusop.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.