Skip to main
Logo Malaysiakini

Giliran Muafakat Nasional pula zahir sokongan pada Muhyiddin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selepas BN, Muafakat Nasional (MN) pula tampil untuk menyatakan sokongan padu mereka kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan gabungan itu malam ini, mereka berkata MN secara sepakat memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada kepimpinan Muhyiddin.

"Selagi dengan keputusan itu semua ahli parlimen Umno dan PAS memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri," kata kenyataan tersebut.

Ia ditandatangani Annuar Musa selaku setiausaha agung BN dan Takiyuddin Hassan dari PAS.

Terdahulu pemimpin tertinggi MN mengadakan mesyuarat khas yang dihadiri presiden, timbalan presiden, naib presiden dan setiausaha agung kedua-dua parti.

Pada 12 Mei lalu BN terlebih dulu mengumumkan sokongan tidak berbelah mereka bagi kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Menurut Pengerusi Dewan Tertinggi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, gabungan itu menjelaskan mereka juga akan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin.

 Gabungan itu juga berpendirian untuk mengundi secara en-bloc bagi menyokong Muhyiddin jika bekas timbalan presiden Umno itu berdepan dengan undi tidak percaya di Dewan Rakyat. 

Untuk rekod, Umno adalah anggota gabungan BN dan MN.

Kenyataan itu dibuat ketika kerajaan PN dikritik kerana didakwa takut untuk berdepan dengan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dibawa Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad.

Dewan Rakyat asalnya bersidang untuk kali pertama - sejak kejatuhan Pakatan Harapan - pada 18 Mei ini. Asalnya ia diadakan selama sehari tetapi disingkatkan kepada titah diraja saja.

Pembangkang pula menuntut agar ia diadakan sekurang-kurangnya lapan atau 14 hari bagi membincangkan pelbagai isu semasa termasuk ancaman Covid-19 dan kesan daripadanya.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, berkata langkah itu menunjukkan PN yang diketuai Muhyiddin tidak yakin mempunyai sokongan majoriti di parlimen.

Presiden PKR itu juga berkata, wabak Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk memendekkan sidang Dewan Rakyat kerana petugas parlimen sudah menjarakkan tempat duduk aggota parlimen berdasarkan nasihat pihak berkuasa kesihatan.

"Tapi saya percaya kemungkinan besar kerana kerajaan tak ada keyakinan untuk mendapat dukungan majoriti di parlimen," katanya.