Skip to main
Logo Malaysiakini

Sembahyang Jumaat pertama di Masjid Negara setelah 2 bulan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tepat jam 1.12 tengah hari, hari Jumaat 15 Mei 2020, azan berkumandang menandakan masuknya waktu Zohor di Kuala Lumpur.

Di Masjid Negara, usai sahaja azan, khatib terus naik ke mimbar memberikan salam, sebelum azan kedua dilaungkan. Tiada sembahyang sunat qabliyyah didirikan jemaah seperti kelazimannya.

Tujuh minit kemudian, khutbah Jumaat mula dibacakan di depan 29 jemaah - kali pertama sejak sembahyang Jumaat, sembahyang jemaah dan kegiatan keagamaan lain dilarang di masjid dan surau, susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Mereka duduk dengan jarak kira-kira lebar dua sejadah antara satu sama lain bagi memastikan penjarakan sosial.

Masjid Negara merupakan satu daripada tiga masjid utama di ibu kota yang dibenarkan mengadakan sembahyang Jumaat kerana terletak di zon hijau.

Dua lagi masjid utama - Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, kedua-duanya Putrajaya - belum mendapat lampu hijau untuk kegiatan sedemikian kerana masih terletak dalam zon kuning.

Bagaimanapun berbeza dengan sebelum ini, sembahyang Jumaat hari ini diadakan secara ringkas dan pantas.

Iqamat dilaungkan tepat jam 1.30 tengah hari selepas khutbah kedua selesai dibacakan. Makmum berdiri, takbir diangkat. Salam diberikan tepat jam 1.37 tengah hari, dan doa diaminkan dua minit kemudian.

Semuanya selesai dalam tempoh 27 minit sahaja.

Imam Besar Majid Negara Ehsan Mohd Hosni yang mengimamkan sembahyang Jumaat hari ini, memanjatkan setinggi-tinggi syukur setelah sembahyang hari ini direalisasikan, setelah lapan minggu ia tidak ditunaikan.

Menurut Ehsan, hanya kalangan kakitangan Masjid Negara dan jemaah terpilih daripada jabatan dan agensi yang berdekatan menyertainya, walau faham keinginan orang ramai untuk turut serta mengimarahkan masjid.

"Kita akan memberikan kelonggaran ini kepada orang ramai, mungkin selepas melalui beberapa peringkat lagi...Agar penjelasan diberikan kepada orang awam terlebih dahulu.

"Agar apabila kita buka masjid, (tidaklah) ramai yang akan hadir sehingga kita sukar kawal pergerakan orang yang ramai," katanya kepada pemberita selepas selesai sembahyang.

Ehsan berkata lagi, kelonggaran kerajaan hadir bersama syarat yang ketat.

Suhu badan jemaah direkodkan dalam buku pendaftaran di pagar masjid dan pintu masuk ruang sembahyang, waktu dan nama mereka yang keluar masuk juga dicatat.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata masjid dan surau terpilih dalam zon hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan dibenarkan mengadakan sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah secara berperingkat mulai hari ini, dengan bilangan jemaah minimum tiga orang (tidak termasuk imam) dan tidak melebihi 30 orang.

Selain Wilayah Persekutuan, Perlis, Melaka, Johor, Perak dan Negeri Sembilan turut membenarkan sembahyang Jumaat, tetapi tertakluk kepada syarat-syarat tertentu mengikut negeri masing-masing.

Memandangkan sembahyang Jumaat telah dibenarkan, Ehsan turut ditanya jika sembahyang Tarawih turut akan diadakan malam ini dengan mematuhi garis panduan yang sama.

Dia berkata walaupun sepatutnya ia juga boleh ditunaikan, perkara itu akan dibincang terlebih dahulu hari ini.

Bagi makmum Muhammad Noriman Kamaruddin, yang merupakan pembantu pustakawan Masjid Negara, meskipun bersyukur kerana akhirnya dibenarkan menunaikan sembahyang Jumaat, jauh di sudut hati dia menunggu keadaan kembali normal dan masjid kembali diimarahkan orang ramai.

Muhammad Noriman

"Harapan saya pada masa akan datang, ramai lagi jemaah akan dibenarkan, dan kita dapat kembali ke masjid untuk sembahyang berjemaah seperti biasa," katanya kepada pemberita.

Rasa syukur dan hiba turut dizahirkan penolong pegawai teknologi maklumat Masjid Negara Irwan Abdinur yang turut menyertai sembahyang hari ini.

Dia bagaimanapun mengakui sedikit canggung kerana tidak dibenarkan mengerjakan sembahyang sunat rawatib, iaitu sembahyang sunat dua rakaat sebelum dan selepas sembahyang fardhu.

Irwan Abdinur

"Rasa hiba sebab sudah lapan minggu kita tak dapat menunaikannya, memang rasa sangat bersyukur. Tetapi rasa lain sedikit sebab tak boleh sembahyang sunat, sembahyang Jumaat hari ini berjalan terlalu pantas," katanya.

Sebelum azan berkumandang lagi, seorang pembantu masjid telah mengingatkan bahawa tiada sembahyang sunat akan dibuat hari ini bagi mematuhi arahan agar sembahyang Jumaat diselesaikan secepat mungkin.

"Tak ada solat ba'diyyah atau qablityah," katanya menerusi pembesar suara.