Skip to main
Logo Malaysiakini

Saksi: Bung kata Menteri Kewangan syor labur RM150 juta

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa bekas pengerusi bukan eksekutif, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Bung Moktar Radin memaklumkan bahawa Menteri Kewangan ketika itu mengesyorkan supaya organisasi itu melabur sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual pada 2015.

Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra, Dr Habibah Suleiman, 72, berkata, pihaknya hanya diberitahu mengenai perkara tersebut oleh Bung Moktar dalam mesyuarat lembaga pengarah bilangan 157 yang diadakan pada Jun 2015.

“Saya tidak tahu amaun pelaburan yang dipohon adalah sebanyak RM150 juta sedangkan amaun yang diluluskan dalam mesyuarat ALP adalah sebanyak RM50 juta sahaja.

“Pihak ALP ada bertanyakan kepada Bung Moktar berkaitan perbezaan amaun yang telah dilaburkan di dalam Unit Amanah Public Mutual dan beliau menyatakan bahawa telah berjumpa dengan Menteri Kewangan ketika itu dan membawa surat permohonan Felcra untuk mendapatkan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam yang mewakili Bung Moktar, M. Athimulan, pada perbicaraan kes rasuah dihadapi ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya yang juga seorang pelakon, Zizie Ezette A Samad.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata Bung Moktar telah memberitahu pihak ALP bahawa Menteri Kewangan yang telah mengesyorkan kepada beliau untuk melabur RM150 juta.

Menjawab soalan Athimulan mengenai kehadiran ALP ketika mesyuarat pada Jun 2015 tersebut, Habibah berkata ia turut dihadiri Mohd Isa Hussain selaku wakil dari Kementerian Kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Ramlee Abu Bakar.

Athimulan: Saya katakan kepada Dr, semua ALP termasuk Dr sendiri mempunyai pengetahuan berkaitan perubahan amaun dari RM50 juta ke RM150 juta sebelum mesyuarat lembaga pengarah bilangan 157?

Habibah: Saya tidak tahu mengenai perkara jtu sebelum mesyuarat pada Jun tersebut.

Disoal peguam itu mengenai jumlah komisen yang akan diperoleh ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, sekiranya pelaburan unit amanah tersebut dilakukan oleh Felcra, saksi itu berkata beliau tidak bertanyakan kepada Norhaili mengenai perkara tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, 60, yang ketika itu merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Ezette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 10 Ogos depan.

-Bernama