Skip to main
Logo Malaysiakini

'Berapa ramai etnik asing masuk secara haram ke Malaysia?'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (Reach), Iskandar Abdul Samad menggesa kerajaan mendedahkan jumlah sebenar warga asing yang berada di negara ini secara haram.

Gesaan itu hadir selepas sebuah portal berita melaporkan sebahagian daripada kira-kira 2,000 etnik Chin dari Myanmar tinggal di kawasan Pudu berdepan masalah ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkasakan dikuatkuaskan di kawasan itu sejak malam kelmarin.

“Rakyat Malaysia perlu diberitahu berapa banyak kumpulan etnik dari negara luar yang telah berjaya memasuki negara kita secara haram.

“Isu ini adalah isu keselamatan negara bukan isu perkauman. Amat membimbangkan apabila begitu ramai yang berjaya membolosi sempadan negara dan kemudian berada di tengah-tengah ibu negara.

“Mungkin hari ini yang dapat membolosi adalah mereka yang melarikan diri dari penindasan atau kesempitan hidup tetapi di masa akan mungkin peluang ini digunakan oleh anasir-anasir yang mahu mengancam kestabilan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Memetik laporan portal berita berkenaan, bendahari PAS Pusat itu merumuskan kesemua pelarian etnik di Pudu itu tidak mempunyai visa atau pasport dan hanya bergantung pada kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Begitu pun, tambahnya, 1,000 daripada mereka sebenarnya tidak mempunyai sebarang dokumen kerana masih dikatakan menunggu pendaftaran dengan suruhanjaya tersebut.

Malah, kata Iskandar, statistik oleh Chin Students Association di Malaysia menunjukkan terdapat 42,710 etnik Chin di negara ini.

“Sebelum ini kita dikejutkan dengan kebanjiran etnik Rohingya dan puluhan ribu warga China yang hilang di Malaysia. Kita tidak pula diberitahu tentang etnik Chin ini,” tambahnya.

Menurut laporan berita dari FMT, kira-kira 300 pelarian Chin terperangkap di kawasan yang dikenakan PKP diperkasakan di Pudu, dan mereka khuatir akan dihantar pulang, malah takut untuk menjalani saringan Covid-19.

Sebahagian kawasan di Jalan Pudu dikenakan PKP diperkasakan dan dipasang kawat duri, melibatkan dari kawasan berhampiran hotel D Majestic Place di Jalan Pudu ke Jalan Landak, difahamkan bagi membolehkan ujian Covid-19 dan kuarantin dijalankan terhadap warga asing.

Dalam kenyataan sama hari ini, Iskandar mengalu-alukan tindakan kerajaan terhadap warga asing yang disyaki tidak memiliki dokumen sah baru-baru, malah berpendapat ia perlu dipergiatkan.

Ini, katanya, meskipun tindakan berkenaan menerima kecaman oleh badan dan NGO seperti Amnesty International.

“Ia perlu dilakukan demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Mereka yang lantang itu perlu juga melihat kesan kebanjiran warga asing ini kepada rakyat Malaysia seperti di perumahan-perumahan kos rendah.

“Jangan hanya pandai bercakap untuk sebelah pihak sahaja,” katanya lagi.